270 Pelajar Remaja Jawa Barat Dihantar Ke Berek Tentera

Share the news

JAKARTA: 9 Mei 2025 – Lebih 270 pelajar remaja di Jawa Barat yang dianggap bermasalah telah dihantar ke berek tentera di bawah satu skim yang dilancarkan bulan ini oleh Gabenor Jawa Barat, Dedi Mulyadi.

Menteri Hak Asasi Manusia, Natalius Pigai, memuji projek tersebut dan menyatakan sokongan beliau terhadap pelaksanaan program itu di seluruh negara.

Beliau mengulangi sokongan itu dalam kenyataannya kepada AFP hari ini.

“Jika ia berjaya dari segi hak asasi manusia…maksudnya pendidikan dilaksanakan dengan betul serta terdapat peningkatan dalam kapasiti mental, kompetensi, disiplin dan tanggungjawab, maka ia boleh dilaksanakan secara nasional,” katanya.

Program itu bertujuan menggalakkan perubahan gaya hidup dalam kalangan pelajar di wilayah itu, kata Gabenor Dedi Mulyadi kelmarin selepas mendapati ramai pelajar berjaga malam bermain permainan video, ponteng sekolah atau terlibat dalam pergaduhan. – AFP

Pada 2 Mei lalu, Mulyadi mengumumkan beberapa kriteria pelajar yang terpilih menyertai program pendidikan sahsiah tersebut, antaranya mereka yang kerap bermain permainan Mobile Legends.

Selain dianggap bermasalah atau nakal, pelajar yang didapati sering terlibat dalam pergaduhan dan mabuk juga akan dimasukkan dalam program itu.

“Pelajar yang bermain Mobile Legends pada waktu malam dan hanya bangun pada waktu tengah hari,” katanya.

Tambah beliau, mereka yang sering melawan ibu bapa, mengugut dan membuat masalah di sekolah turut dikategorikan sebagai pelajar nakal yang bakal dihantar ke kem tentera.

“Pelajar yang sering ponteng ke sekolah, keluar rumah untuk ke sekolah tetapi didapati tidak hadir,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan para pelajar masih mengikuti pengajaran dan pembelajaran seperti biasa dengan mata pelajaran mengikut bahan-bahan di sekolah.

“Pembelajaran masih seperti di sekolah. Bezanya ialah aktiviti dilaksanakan di kawasan Kompleks Tentera atau Polis. Bilik darjah akan diwujudkan, guru sekolah asal pelajar boleh mengunjungi. Tiada masalah yang timbul,” katanya.

Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Penerangan Tentera Darat, Brigedier Jeneral Wahyu Yudhayana berkata beberapa kriteria bagi mengenal pasti pelajar nakal yang bakal dihantar ke kem tentera telah dikenal pasti berdasarkan kenyataan Dedi.

“Keutamaan diberikan kepada pelajar yang terlibat dalam pergaduhan, geng motosikal dan pelajar yang ibu bapanya sudah tidak dapat mendidik mereka dari segi etika dan sahsiah,” jelas beliau. – KOMPAS

Sumber: AFP, KOMPAS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TV Sabah | News Portal