Warisan Dusun Labuk Disemarakkan Menerusi Unduk Ngadau Beluran 2025

Share the news

BELURAN – Takdir kadang kala hadir dalam bentuk yang tidak disangka. Begitulah kisah Puan Rinah Michael, wanita bersahaja yang selama ini lebih senang berkhidmat di balik tirai, kini muncul ke hadapan, memimpin Unduk Ngadau Beluran 2025 – sebuah pentas agung warisan yang menjulang jati diri wanita dan budaya Sabah, khususnya di daerah Beluran.

Pelantikan beliau sebagai pengerusi bukan sekadar satu gelaran, tetapi lebih kepada amanah suci. Dalam dirinya bergetar semangat lama yang membara – semangat yang mula menyala sejak penyertaan dan kejuaraannya dalam UN Beluran pada tahun 2006. Kini, dengan pengalaman sebagai suluh, dan cinta terhadap budaya sebagai kompas, beliau melangkah yakin demi mengangkat martabat Dusun Labuk ke tempat yang sewajarnya.

“Saya selalunya di belakang pentas, tetapi kali ini saya menyahut cabaran ini kerana ada pengalaman, dan ada semangat yang tidak mahu padam,” luahnya tulus.

Gambar : Puan Rinah Membimbing Para Raraa Teknik Menyulam Bunga Gosing (Facebook Unduk Ngadau Beluran)

Rinah mengetengahkan tema Kopiiso Ginavo, yang bermaksud kesatuan, bebenang warna warni yang menjalin makna dan identiti. Ia mengambil inspirasi daripada motif bunga gosing yang disusun berbentuk V – ia merupakan lambang perjalanan hidup masyarakat Dusun Labuk dari alam kanak-kanak menuju dewasa, dari akar ke angkasa. Satu naratif yang hidup, disulam dengan penuh wibawa dan indah.

Rinah menerangkan, ilhamnya banyak bertitik dari para pengkaji busana serta warga tua yang masih setia menjaga bara tradisi Dusun Labuk Beluran.

“Warisan kita bukan sekadar sejarah; ia adalah jiwa kita. Dan jiwa itu harus dijaga agar tidak lenyap ditelan waktu,” terangnya penuh tekad.

Setiap inci perancangan dilakukan dengan rapi. Barisan jawatankuasa bukan sekadar pelaksana acara, tetapi penjaga nilai – terdiri daripada juara dan peserta Unduk Ngadau tahun sebelumnya serta wanita berpengalaman yang pernah menyentuh nadi penganjuran. Bagi peserta pula, keutamaan diberikan kepada mereka yang berakar di Beluran dan sekitarnya, agar suara mereka benar-benar mewakili denyut nadi tempatan. Para raraa yang bakal membawa jati diri Dusun Labuk Beluran pada edisi ini ialah, Aileen Joi, Angel Amanda, Paula Kristine, Ashley Albert, Evyeannigel Cornelius, Adrienne Clare, Rini Aswanda, Ellizlie Timhol, Michellynne Ferreira, Milka Bonong, Viearupfni Jinis, Caesyzizi Liakim, Eilaney Lenny, Genevee Hazel, dan Michelle Perreira.

Harapan Puan Ryna melangkaui pentas dan mahkota. Beliau ingin melihat nama Beluran bersinar dalam peta budaya negeri, dan dalam masa yang sama, menggerakkan komuniti untuk berdiri bersama peserta – bukan hanya sebagai penonton, tetapi sebagai penyokong, pengkritik membina, dan penjaga warisan.

“Mencari peserta bukan semudah yang disangka. Kita perlukan masyarakat yang mendukung, bukan sekadar menilai. Kerana dari sokongan itulah lahir peserta yang berwibawa,” ujarnya.

Gambar : Facebook Unduk Ngadau Beluran

Dengan semangat juang yang membara dan dedikasi pasukan yang tidak mengenal lelah, Rinah yakin Unduk Ngadau Beluran 2025 bukan sekadar sebuah pertandingan ratu, tetapi merupakan pentas suci di mana warisan Dusun Labuk kembali mencorak lanskap budaya dengan lebih aktif, anggun, dan lestari.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TV Sabah | News Portal