Kutipan cukai produk petroleum Sabah tahun ini melebihi sasaran: Masidi
KOTA KINABALU: Sasaran adalah RM1.1 bilion, namun sehingga 28 November ini, Kerajaan Sabah mengutip melebihi sasaran iaitu RM1.79 bilion cukai jualan negeri (CJN) bagi produk petroleum.
“Sukacita dimaklumkan bahawa hasil CJN petroleum yang dikutip kerajaan negeri lebih tinggi daripada apa yang kita jangka dan anggarkan.
“Setakat 28 November, iaitu kelmarin, sebanyak RM1.79 bilion hasil CJN petroleum berjaya dikutip,” kata Menteri Kewangan Kedua Sabah Masidi Manjun di sesi soal jawab sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Selasa.
Menurut Masidi, kerajaan Sabah mengutip sebanyak RM1.79 bilion cukai CJN bagi produk petroleum yang dikeluarkan antara Jan lalu hingga 28 November iaitu melebihi sasaran kutipan sebelum ini, iaitu RM1.1 bilion.
Beliau berkata, sasaran awal itu berdasarkan harga minyak USD53 setong di pasaran antarabangsa, namun peningkatan harga minyak sepanjang tahun ini turut meningkatkan kutipan CJN.
Beliau menjawab pertanyaan Yong Teck Lee (ADUN Dilantik) mengenai jumlah CJN yang dianggarkan pada tahun ini bagi sektor minyak dan gas di Sabah.
Menjawab soalan tambahan Dr Yusof Yacob (BN-Sindumin) mengenai perbezaan CJN dikutip di Sabah dengan Sarawak, Masidi berkata, kutipan Sarawak lebih tinggi berikutan aktiviti hiliran minyak dan gas yang lebih banyak di negeri itu.
“Sarawak lebih ke hadapan dalam industri hiliran minyak dan gas, sebab itu mereka dapat mengutip cukai yang lebih tinggi,” katanya.
“(Sabah) pun dalam usaha untuk meluaskan kutipan CJN termasuk produk urea dan ammonia,” katanya.
– Tv Sabah News
0 Comments