Tuesday, December 24, 2024

GRS mahu Anwar pertimbang jawatan TPM dari Sabah

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak menolak gagasan kerajaan pusat yang mahukan Kabinet yang lebih kecil tetapi berharap wakil dari Sabah dan Sarawak dipertimbangkan kerana sudah lama wakilnya rendah dalam barisan Kabinet.

Ketua Penerangan GRS Datuk Joniston Bangkuai berkata, kerajaan persekutuan diharap mempertimbangkan jumlah wakil dari kedua-dua Sabah dan Sarawak.

“Untuk jawatan timbalan perdana menteri, Sabah juga ingin mempunyai timbalan perdana menteri dari Sabah, tetapi akhirnya itu adalah prerogatif perdana menteri,” katanya.

Parti politik dari Sabah dan Sarawak menyuarakan harapan agar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat mempertimbangkan wakil mereka untuk jawatan timbalan perdana menteri.

Walaupun kedua-dua Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata terpulang kepada budi bicara perdana menteri, mereka meminta lebih ramai ahli Parlimen mereka berada dalam barisan Kabinet.

Setiausaha Agung GPS Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, walaupun pelantikan adalah prerogatif perdana menteri, perlu diingatkan bahawa belum ada ramai wakil rakyat Sarawak dalam Kabinet.

Malah, katanya wakil dari Sarawak tidak harus dikurangkan walaupun Kabinet lebih kecil demi kebaikan negeri yang luas dengan rakyatnya yang berbilang kaum dan agama.

“Namun, jika ia dilakukan seperti Pakatan Harapan (PH) yang memerintah selama 22 bulan dengan seorang menteri dan seorang timbalan menteri, itu tidak betul. Kami adalah negeri yang besar. Tidak boleh begitu.

“Kalau kita mahu kecilkan saiz Kabinet tetapi kita kurang mungkin tidak bagus untuk Sarawak kerana kita perlukan banyak perhatian dan kalau diikutkan, biarlah ia sebagai sebahagian daripada kementerian yang bermakna kepada kita seperti yang berkaitan dengan pembangunan, kawasan luar bandar atau kerja awam,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi pada Sabtu.

Menurut Alexander, Sarawak mempunyai empat wakil dalam Kabinet sebelum ini, jadi kali ini, diharap tidak kurang daripada itu.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights