Galeri Gurdwara Sahib tarikan terbaru di Sandakan
SANDAKAN: Galeri Gurdwara Sahib Sandakan dan Sikh yang tiba di Borneo semasa Koloni British akan menjadi satu lagi nilai tambah kepada pelancong yang datang di Sandakan apabila ia dibuka nanti.
Galeri bersejarah dalam Gurdwara yang baru diubah suai ini memaparkan sejarah mendiang Ojagar Singh yang dikenali sebagai Singa Sandakan, seorang tokoh terkemuka yang malangnya semakin dilupakan sejak sekian lama.
Artikel mengenai Ojagar Singh ditulis oleh Autar Singh pada tahun 2020 dan keseluruhan artikelnya telah dicetak dan dipaparkan dalam akrilik oleh Sandakan Gurdwara.
Di sisi lain galeri sejarah, pengunjung boleh melihat koleksi gambar lama kuil gurdwara yang ketika itu diperbuat daripada kayu dan beberapa gambar komuniti Sikh di Borneo.
Menurut Juruaudit Dalaman Gurdwara Sahib Sandakan, Murugiah Krishnasamy yang memberi taklimat mengenai galeri itu, ada hanya 40 keluarga Sikh di daerah Sandakan.
Bagaimanapun, walaupun menjadi kumpulan minoriti ia tidak menghalang mereka untuk mengekalkan identiti sekali gus mendidik masyarakat tentang sejarah masyarakat Sikh yang tiba di Borneo sejak 1873.
Beliau ditemui media semasa sambutan 100 tahun Gurdwara Sahib Sandakan dan juga ulang tahun ke-553 tahun Guru Nanak Dev Ji pada hari Sabtu.
Sambutan yang sederhana dan penuh bermakna itu diadakan di Gurdwara Sahib Sandakan, Jalan Buli Sim-Sim dengan doa tanpa henti selama tiga hari manakala makanan vegetarian turut dihidangkan kepada orang ramai.
Turut hadir pada sambutan tersebut ialah Presiden Gurdwara Sahib Sandakan, Devinder Singh, Presiden Persatuan Sikh Sabah Anup Singh, Presiden Kuil Sri Sristi Vinayagar Sandakan, Ganesan Kumarasamy, Presiden Dewan Perniagaan India Sabah Datuk V.Jothi dan Presiden Gurdwara Sahib Lahad Datu, Niranjan Singh.
– Tv Sabah News
0 Comments