Dr Jeffrey ulangi tuntutan pemulangan 40 peratus hasil Sabah
KENINGAU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan mahu kerajaan persekutuan baharu untuk membuat keputusan berhubung tuntutan Sabah ke atas pemulangan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh daripada negeri ini.
“Sabah berharap akan ada keputusan untuk mengembalikan haknya di bawah kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baharu. Saya sangat mengenali Perdana Menteri baharu dan beliau mengenali saya termasuk tuntutan kami.
“Jadi, saya harap dengan kerjasama (negeri dan persekutuan) yang ada sekarang, kita akan dapat melihat hasil yang lebih baik berkaitan dengan tuntutan Sabah dan Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan acara Rizab Biosfera Banjaran Crocker di Bingkor di sini pada Sabtu.
Beliau mengulangi hak kewangan yang diusahakan oleh Sabah ialah pemulangan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh daripada negeri ini oleh Kerajaan Persekutuan dan 10 peratus duti eksport ke atas petroleum.
Dr Jeffrey yang juga Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, Sabah mendapat RM120 juta daripada duti import dan eksais setiap tahun sedangkan ia sepatutnya menerima 10 peratus daripada duti import ke atas produk petroleum yang dianggarkan mencecah kira-kira RM10 bilion.
“Jadi, Sabah sepatutnya mendapat kira-kira RM1 bilion (setiap tahun),” katanya
Di majlis itu Dr Jeffrey dalam ucapannya menekankan pentingnya mengintegrasikan konsep pembangunan mampan dalam usaha memartabatkan sosio-ekonomi masyarakat. Satu caranya ialah dengan menjadikan aktiviti berkaitan pertanian dan perikanan secara inovatif sebagai produk pelancongan.
“Ini adalah anjakan paradigma yang saya galakkan sepenuhnya,” katanya dan menggesa pentadbiran daerah memastikan pembangunan Pelancongan Lestari Bingkor dapat dilaksanakan dalam tempoh 2023-2029.
“Pelan itu mesti memberi penekanan kepada pemuliharaan alam semula jadi dan nilai budaya masyarakat etnik tempatan serta menggalakkan agropelancongan,” katanya.
Beliau juga menekankan keperluan untuk memberi penekanan kepada pembangunan dan promosi pelancongan berasaskan komuniti dan produknya.
Kawasan pemuliharaan Rizab Biosfera Banjaran Crocker (CRBR) seluas kira-kira 350,000 hektar telah disenaraikan di bawah Manusia dan Biosfera, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sejak tujuh tahun lalu.
Kawasan berkenaan meliputi sembilan daerah iaitu Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Beaufort, Tuaran, Keningau, Tambunan, Ranau dan Tenom.
CRBR menggalakkan pemuliharaan dan pembangunan tanpa memberi kesan negatif kepada pemuliharaan biodiversiti dan perkhidmatan ekosistem semula jadi, terutamanya sumber biodiversiti dan bekalan air bersih.
Sehingga Jun tahun ini, terdapat 727 rizab biosfera di 134 negara.
Turut hadir Timbalan Pengarah Taman-Taman Sabah, Ludi Apin, Pegawai Daerah Keningau, Henry Idol, ADUN Bingkor, Datuk Robert Tawik dan Dr Hans Dencker Thulstrup dari UNESCO, Paris.
– Tv Sabah News
0 Comments