‘Adun PH Mesra Kerajaan’ kunjungi Hajiji
KOTA KINABALU: Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pakatan Harapan (PH) Sabah mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Haji Noor di pejabatnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Jumaat.
Dalam kunjungan itu, Adun PH menyatakan sokongan dan kerjasama kepada Hajiji sebagai Ketua Menteri sehingga penggal berakhir pada tahun 2025.
Kunjungan diketuai Adun Kadamaian, Datuk Ewon Benedick. Turut hadir Adun Luyang, Phoong Jin Zhe, Kepayan (Jannie Lasimbang), Inanam (Pito Galim) dan Adun Likas (Tan Lee Fatt).
Ketika ditanya media, Ewon memberitahu beberapa perkara dibincangkan termasuk penyertaan dan sokongan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga penyertaan Adun PH Sabah dalam Kerajaan Negeri sebagai Adun Mesra Kerajaan.
“Adun-Adun PH Sabah mengalu-alukan sokongan GRS dalam Kerajaan Perpaduan Persekutuan sepertimana diumumkan Perdana Menteri hari ini.
“Adun PH Sabah juga menyatakan sokongan kepada Datuk Hajiji dan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan agenda pembangunan dan perjuangan hak-hak Sabah dapat dijayakan bersama,” katanya.
Ewon berterima kasih kepada Hajiji kerana bersetuju melibatkan Adun PH dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah dan Jawatankuasa Penggunaan Tanah Daerah bermula pada tahun hadapan.
“Kita tidak mahu terlalu banyak politik sehingga menjejaskan kestabilan Kerajaan. Di peringkat Persekutuan, kita membentuk Kerajaan Perpaduan dan pendekatan yang sama boleh dilaksanakan di Sabah,” katanya.
Terdahulu Hajiji membentangkan Belanjawan Negeri Sabah bagi tahun 2023 dalam sidang DUN yang bermula Jumaat.
– Tv Sabah News
0 Comments