Monday, December 23, 2024

Bajet 2023 tertinggi dalam sejarah Belanjawan Negeri Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri membentangkan Bajet 2023 dengan lebihan sebanyak RM130 juta. Bertemakan ‘Ekonomi Diperkasa, Rakyat Sejahtera’ bajet ini adalah yang tertinggi dalam sejarah Belanjawan Negeri Sabah sejak merdeka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, Kerajaan Negeri mencadangkan Anggaran Perbelanjaan tahun 2023 berjumlah RM5.138 bilion dengan anggaran kutipan hasil sebanyak RM5.268 bilion.

“Ini bermakna Belanjawan 2023 adalah merupakan satu Belanjawan Lebihan (Surplus Budget) sebanyak RM130.47 juta.

“Semoga Belanjawan 2023 ini dapat memberikan manfaat dan kesenangan kepada tampuk kepimpinan saya untuk terus memajukan negeri ini, agar setiap lapisan rakyat dapat menikmati kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan,” katanya ketika membentangkan Bajet 2023 Negeri Sabah dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini Jumaat.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata, pada tahun 2021, ekonomi negeri masih berhadapan dengan pelbagai cabaran pasca pandemik Covid-19.

Namun, kerana Kerajaan Negeri buat pertama kali berjaya menjana hasil menembusi angka RM5 bilion ia sekaligus menzahirkan satu rekod baharu dengan pungutan yang tertinggi dalam sejarah hasil negeri berjumlah RM5.449 bilion.

“Di kesempatan ini, saya berterima kasih kepada semua pihak atas kesungguhan, komitmen dan kerjasama jitu yang diberikan pada tahun lalu sehingga pungutan hasil meningkat ke paras yang baharu,” katanya.

Hajiji berkata, sebagai pengeluar komoditi minyak mentah petroleum dan minyak mentah sawit (CPO), peningkatan harga komoditi yang luar biasa pada tahun ini membawa impak positif kepada hasil negeri.

Kerajaan katanya, mengunjurkan Anggaran Hasil Disemak Tahun 2022 pada paras yang lebih tinggi iaitu RM5.988 bilion berbanding Anggaran Asal iaitu RM4.707 bilion.

“Insha Allah, jika harga komoditi terus berada di paras tinggi, kita boleh mencapai angka RM6 bilion,” katanya.

Ketua Menteri berkata, menyedari sebahagian besar hasil negeri berasaskan komoditi yang terdedah dengan harga tidak menentu ekoran keadaan pasaran, ekonomi serta geopolitik dunia, maka pendekatan konservatif dalam penyediaan Anggaran Hasil 2023 dikekalkan agar kedudukan kewangan Kerajaan terus kukuh.

Kata Hajiji, Anggaran Hasil Tahun 2023 diunjurkan sebanyak RM5.268 bilion dengan pecahan seperti berikut:
Pertama: Hasil Cukai berjumlah RM2.405b membabitkan Cukai Jualan Negeri RM2.270b; Sewa Tanah RM90 juta; serta Cukai Pelabuhan dan Dermaga RM44.5 juta.

Kedua: Hasil Bukan Cukai sebanyak RM2.311b yang merangkumi Royalti Petroleum RM1.35b; Jualan Air RM300j; Premium Tanah RM144j; Dividen RM137j; Royalti Keluaran Hutan dan Eksport Kayu Diproses RM133.5j; serta Faedah atas Baki Wang Tunai dan Simpanan Jangka Pendek RM115j.

Ketiga: Terimaan Bukan Hasil sejumlah RM553.17j yang mana antara sumber utama adalah pemberian daripada Kerajaan Persekutuan dengan anggaran RM528.87j yang merangkumi lima terimaan seperti Pemberian Khas; Pemberian Mengikut Kiraan Kepala; Pemberian Bagi Membiayai Perbelanjaan Mengurus bagi Jabatan-Jabatan di Bawah Senarai Bersama; Pemberian untuk Menggantikan Duti Import / Eksais Ke atas Petroleum; dan Sumbangan Kepada Kos Pelaksanaan Projek Pembangunan Persekutuan.

Usaha meningkat dan memampankan hasil negeri
Ketua Menteri berkata, walaupun berdepan ketidakstabilan ekonomi dan pelbagai cabaran, namun, Kerajaan Negeri terus mempergiat dan mempelbagaikan usaha meningkat dan menjana sumber hasil yang lebih mampan.

Antara usaha-usaha tersebut adalah;
Pertama: Menambahbaik pengurusan hasil secara komprehensif dengan memperkasa setiap aspek penguatkuasaan bagi mendapatkan semula tunggakan hasil dan menangani ketirisan hasil.

Sebagai contoh, melalui penubuhan Pasukan Petugas Khas Cukai Jualan Negeri ke atas Produk Petroleum dengan kerjasama anggota pasukan daripada Kementerian Kewangan, Jabatan Ketua Menteri dan Jabatan Peguam Besar Negeri serta SMJ Sdn. Bhd. selaku penasihat, cukai yang tertunggak berjumlah RM132 juta berjaya dikutip semula.

Dengan ini, kesemua 15 syarikat minyak dan gas di Sabah telah membuat bayaran cukai ke atas produk petroleum.

“Ingin saya ingatkan semua pembayar cukai jualan negeri bagi semua barangan agar bersikap jujur, responsif dan memastikan pengisytiharan cukai dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, tepat dan teratur.

“Kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang bagi mereka yang gagal berbuat demikian,” katanya.

Kedua: Memperluas sumber hasil negeri contohnya melalui pelaksanaan Cukai Jualan Negeri baharu ke atas besi buruk buangan yang bermula pada Februari lalu dengan anggaran sebanyak RM18 juta setahun dan peluasan skop ke atas Cukai Jualan Negeri Petroleum meliputi produk Ammonia dan Urea yang bermula pada bulan Ogos juga dijangka akan menyumbang hasil negeri sebanyak RM110 juta setahun.

Ketiga: Mempertahan dan memperjuangkan hak Negeri Sabah. Walaupun bayaran interim Pemberian Khas oleh Kerajaan Persekutuan dinaikkan kepada RM129.7 juta pada tahun 2023, Kerajaan Negeri akan terus berunding bersama Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan kajian semula Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Keempat: Mempergiatkan lagi penguatkuasaan kutipan dividen Syarikat Milik Kerajaan dan Badan-badan Berkanun melalui pemantauan pengurusan dan kedudukan kewangan serta strategi pelaburan dan perniagaan baharu agar agensi-agensi Kerajaan sentiasa berada pada kedudukan kewangan yang positif.

“Hasil adalah nadi kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat, justeru, saya menyeru semua pihak agar bersama-sama meneruskan perjuangan menggalas tanggungjawab mengembeleng tenaga untuk memacu hasil negeri ke arah kutipan hasil yang lebih mampan dan kukuh yang boleh menjamin kestabilan ekonomi serta pembangunan negeri dan mensejahterakan kehidupan rakyat secara berterusan. Insha Allah,” ujarnya.

Anggaran perbelanjaan perbekalan tahun 2023
Ketua Menteri berkata, untuk membiayai perbelanjaan operasi dan pengurusan, Kerajaan Negeri mencadangkan sebanyak RM5.138 bilion bagi tahun 2023 melibatkan kenaikan sebanyak RM541.23 juta atau 11.77 peratus berbanding dengan anggaran asal tahun 2022 sebanyak RM4.597 bilion.

Jumlah itu katanya, diagihkan untuk tujuan pembayaran Emolumen, Perbelanjaan Berulang dan Perbelanjaan Khas.

Daripada jumlah keseluruhan Anggaran Perbekalan 2023, katanya, sejumlah 15.4 peratus ataupun RM792.28 juta disyorkan untuk Emolumen.

“Manakala, Perbelanjaan Berulang disyorkan sebanyak RM1.977 bilion ataupun 38.5 peratus bagi menampung keperluan perkhidmatan bekalan air dan pembetungan; Program Perkhidmatan Sosial, Pemberian Bantuan Am, Anak Yatim dan Miskin; Bantuan Khas Pendidikan; Program Pembangunan Masjid, Surau dan Sekolah Agama; serta Program Pengurusan Banjir dan Kerja-Kerja Pengairan dan Saliran,” jelasnya.

Katanya, bagi Perbelanjaan Khas pula, disyorkan sebanyak RM2.369 bilion atau bersamaan dengan 46.1 peratus.

“Agihan Perbelanjaan Khas tahun 2023 ini menunjukkan keprihatinan dan kesungguhan Kerajaan untuk memberi kesenangan kepada rakyat yang melibatkan peningkatan peruntukan penyelenggaraan infrastruktur; Bantuan Khas Kepada Nelayan, Petani dan Penternak; Pemberian Kepada Sekolah- Sekolah dan Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam; serta Bantuan Kepada Badan- badan Berkanun, Agensi Kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan.”

Anggaran perbelanjaan pembangunan tahun 2023
Bagi memacu pertumbuhan ekonomi negeri dan merancakkan program pembangunan, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM788.94 juta pada tahun 2023 untuk perbelanjaan pembangunan.

“Walaupun Belanjawan Negara 2023 belum diluluskan, Kerajaan Negeri menganggarkan keperluan pembangunan dalam bentuk pembiayaan pinjaman dan imbuhan balik di sekitar RM604.67 juta bagi maksud kesinambungan pelaksanaan projek-projek sedia ada biayaan Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2023,” ujarnya.

Selaras dengan intipati tema Belanjawan 2023, katanya, Sektor Ekonomi menerima agihan terbesar iaitu sebanyak RM515.81 juta atau bersamaan dengan 65.3 peratus.

Tambahnya, ini diikuti oleh Sektor Sosial yang diagihkan sebanyak RM254.93 juta atau 32.4 peratus dan seterusnya Sektor Pentadbiran Am sebanyak RM18.2 juta iaitu bersamaan 2.3 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan untuk tahun 2023.

Sektor utama fokus pertumbuhan ekonomi
Ketua Menteri berkata, strategi dan pendekatan untuk merancakkan pembangunan akan tertumpu kepada pertumbuhan sektor-sektor produktif iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan.

Pada tahun 2023, katanya, sebanyak RM808.06 juta akan diperuntukkan untuk tujuan pembangunan ketiga-tiga sektor tersebut

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights