Kemenangan saya, adalah kemenangan Tuaran: Tangau
Mohd Syukrie Johary
TUARAN: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menyifatkan kemenangannya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah kejayaan besar untuk pengundinya di kawasan itu.
“Mereka mengundi saya kerana mereka mahukan perubahan, kestabilan politik, kepimpinan dan sosioekonomi dalam pemerintahan baharu negara.
“Dalam PRU15, kita berdepan dengan cabaran getir dan serba kekurangan tidak kira dalam kewangan, kelengkapan dan sebagainya, tetapi itu tidak menghalang kebangkitan suara keramat penduduk Tuaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Menurut Tangau, segala komitmen dan kerja keras para penyokongnya amat dihargai dan tidak akan lupakan sampai bila-bila.
Tangau berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Tuaran dengan kelebihan 233 undi.
Beliau memperoleh 24,943 undi menewaskan pencabar terdekatnya, calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai yang mendapat 24,710 undi.
Calon Warisan Jo-Anna Sue Henley Rampas (5,728); Muminin Kalingkong @ Norbinsha (Pejuang – 445); Datuk Noortaip Suhaili (Bebas – 2,008) dan Boby Lewat (Bebas – 392).
Beliau yang juga Presiden UPKO menghargai jentera pilihan raya, komitmen serta kerja keras penduduk Tuaran kerana sokongan tidak putus dalam memastikan kejayaan dalam PRU15.
– Tv Sabah News
0 Comments