Kemenangan saya bukti pengundi Beluran bijak memilih: Dr Ronald

BELURAN: Pemenang kerusi parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menyifatkan kejayaannya kali ini amat bermakna kerana beliau satu-satunya calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding di parlimen di Sabah.
“Ini membuktikan bahawa rakyat Beluran bijak memilih dan dengan memastikan kesinambungan wakil rakyat mereka untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya dalam satu kenyataan pada malam Sabtu.
Dr Ronald menang dengan majoriti sebanyak 1,594 undi berkata, beliau akan terus memberi sumbangan khidmat yang termampu bagi membawa aspirasi mereka, termasuk aspirasi anak-anak muda Beluran.
Beliau yang mewakili PN menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Benedict Aswat
(9,709 undi), calon Pakatan Harapan daripada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu
(UPKO), Felix Joseph Saang (4,460 undi).
Dua lagi calon iaitu Rowiena Rasid daripada Parti Warisan (WARISAN), memperolehi
3,707 undi manakala, Hausing Samsudin @ Sudin (Pejuang) mendapat sebanyak 155
undi.
“Saya menghargai sokongan yang ditunjukkan oleh anak-anak muda Beluran dan tentu sekali akan dijadikan sebagai pendorong bagi saya untuk memenuhi kehendak dan aspirasi mereka.
“Saya yakin saya akan menjadi wakil rakyat kepada semua sama ada menyokong saya pada Pilihan raya ini atau pun tidak,” katanya ditemui media selepas pengumuman keputusan calon Parlimen Beluran di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Beluran di sini.
Ronald yang juga Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata,
ini adalah kemenangan keenamnya di kawasan ini dan berjanji akan membuat
perubahan demi untuk manfaat penduduk di sini.
– Tv Sabah News
0 Comments