Tuesday, December 24, 2024

Tangau nafi guna peruntukan kerajaan untuk diri sendiri

Tangau bertemu penyokong di Pusat Daerah Mengundi Tuaran Bandar.

Mohd Syukrie Johary

TUARAN: Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menafikan dakwaan beliau membelanjakan hampir semua peruntukan yang disalurkan kerajaan kepadanya untuk menyediakan kemudahan asas dan membantu penduduk daerah ini.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Tuaran itu berasa sedih ada pihak yang menuduhnya menghabiskan peruntukan parlimen itu untuk kepentingan peribadi.

“Tidak wajar ada pihak yang menuduh saya menghabiskan peruntukan parlimen itu untuk kepentingan peribadi saya,” katanya mengulas perkara itu di sini Khamis.

Beliau mencabar pihak yang meragui dakwaannya itu untuk menghubunginya untuk mengetahui kebenarannya.

Katanya, mereka juga boleh bertanya kepada pihak yang berkuasa dengan rumah ibadat, kampung di sekitar Tuaran dan calon Peperiksaan Sijil Pelaran Malaysia (SPM) 2021.

“Antaranya, kita menaja e-tuisyen untuk semua calon pelajar yang menduduki peperiksaan SPM pada 2021 membabitkan peruntukan RM300,000.

“Selain itu, beberapa projek ‘Ram-Pump’ turut dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah bekalan air di beberapa kampung,” katanya.

Beliau berkata, ini tidak termasuk sumbangan kebajikan kepada penduduk Tuaran yang dilanda musibah. Sebuah projek air bernilai RM40,000 dirasmikan di pekan Nabalu pada Khamis.

Tangau menyifatkan tuduhan beliau menyalahguna wang kerajaan adalah satu dakwaan berat yang tidak seharusnya dikeluarkan oleh lawannya dalam pilihan raya ini.

Pada PRU15 ini, Tangau ditentang calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai; calon WARISAN, Jo-Anna Sue Henley Rampas; calon PEJUANG, Muminin Kalingkong @ Norbinsha; serta dua calon Bebas iaitu Datuk Noortaip Suhaili dan Boby Lewat.

Sebelum ini, Jo-Anna dalam kempennya mendakwa Tangau menggunakan peruntukan pusat untuk kegunaan peribadi.

“Kali ini, saya maafkan dia kerana mungkin dia tidak tahu apa yang dia katakan sebab dia baru dalam proses berjumpa dengan rakyat Tuaran,” katanya.

– TV Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights