Tuesday, December 24, 2024

Masyarakat Cina di Tuaran sokong Joniston

Mohd Syukrie Johary

TUARAN: Masyarakat Cina di Tamparuli bersedia menyokong calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Tuaran, Datuk Joniston Bangkuai kerana yakin beliau dapat memberi khidmat di kawasan itu dengan berkesan.

Ketua Masyarakat Cina Tamparuli, Tan Ah Pang, 65, berkata Joniston layak diberikan peluang untuk pergi ke peringkat persekutuan jika berjaya memenangi kerusi parlimen Tuaran.

“Oleh itu beliau perlu diberi peluang menggalas tugas penting di peringkat persekutuan. Beliau juga memiliki pengalaman termasuk menjadi pembantu menteri dalam kerajaan Sabah sekarang,” katanya di sini pada Sabtu.

Katanya, Joniston boleh mewakili penduduk pelbagai kaum di Tuaran untuk berada dalam kabinet persekutuan berdasarkan pengalamannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu selama tiga penggal.

“Oleh itu, adalah menjadi harapan kami di parlimen Tuaran supaya wakil kawasan ini diangkat sebagai menteri dalam kerajaan persekutuan nanti,” katanya.

Tuaran pernah mempunyai wakil dalam kerajaan persekutuan iaitu Datuk Kalakau Untol, Datuk James Ongkili dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Peniaga, Ng Shu Hing, 69, sependapat Tuaran wajar mendapat wakil dalam kerajaan persekutuan.

“Sudah lama Tuaran tidak mempunyai wakil di peringkat persekutuan sejak Tangau menjadi penyokong pembangkang,” katanya.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights