Tuesday, December 24, 2024

Hungry Harimau kumpul RM18,000 bantu tadika luar bandar

Para pemain golf dalam sesi.

KOTA KINABALU: Dua puluh tujuh pemain golf berjaya mengumpul sebanyak RM18,000 wang yang akan digunakan untuk membina taman permainan Tadika Ceria Kadazandusun di Kg Tiong Monggis.

Tadika yang menggunakan bahasa Kadazandusun sebagai bahasa pengantar untuk memelihara dan mempromosikan bahasa ibunda masyarakat itu terletak 80km dari bandar Kota Kinabalu.

Ia dibina pada 2007 melalui sokongan dari Food For The Hungry International Malaysia.

Pemain golf dalam dan luar negara itu bermain selama tiga hari sambil berseronok dengan tujuan mengumpul wang bagi membantu tadika luar bandar itu.

Mereka menyertai jemputan tahunan Hungry Harimau untuk kali ketiga, di mana ia adalah acara golf amal santai yang diadakan di Kelab Golf dan Desa Sutera Harbour, baru-baru ini.

“Kami berbesar hati kerana mereka berada di sini untuk bermain golf dan pada masa yang sama melakukan aktiviti amal. Kali ini kami harap dapat mengumpul sedikit wang untuk tadika,” kata Dato Dr Chua Hock Hoo, pengerusi eksekutif Cheng & Co Group, sebuah firma pengauditan pengumpulan dana dan amal kejohanan itu.

Yayasan Cheng & Co ditubuhkan oleh Cheng & Co, salah satu firma perakaunan tempatan yang terkemuka di Malaysia.

Seorang pemain golf kelihatan beraksi.
Dua pemain golf antarabangsa bersantai sambil berseronok.

Acara ini diadakan dengan semangat empat kejohanan bersaudara – The Hairy Crab (Shanghai China), Jolly Elephant (Chon Buri Thailand), Jolly Beaver (Whistler Kanada) dan Jolly Fox (Niseko Jepun).

Hungry Harimau ialah acara golf tempatan Malaysia yang menampilkan pertandingan berpasukan Harimau/Buaya dua orang, bersama-sama dengan peserta sosial Monyet (golf kasual, serta semua aktiviti sosial) untuk menambah keseronokan.

“Dua permainan Hungry Harimau tahunan pertama kami mengumpul RM181,800 angka yang sangat besar untuk acara baharu di Malaysia,” katanya.

Sepanjang 25 tahun yang lalu, siri kejohanan jemputan telah menyatukan semula rakan di seluruh dunia dari enam benua dan berjaya mengumpul lebih AS$1 juta dalam dana gabungan untuk tujuan amal di negara asal setiap acara.

Tadika Ceria Kadazandusun, terletak di Kg Tiong Monggis menempatkan kira-kira 20 kanak-kanak kesemuanya berasal daripada latar belakang keluarga miskin di dalam dan sekitar kampung.
Tadika itu ditubuhkan dengan matlamat untuk memulihara dan promosi bahasa ibunda dengan menggunakan bahasa Kadazandusun sebagai bahasa pengantar.

Pada 2015, tadika itu diserahkan kepada Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) dan di bawah pengerusi Datuk Joseph Paulus Lantip.

Penolong Bendahari Agung KDCA, Sairah Indan berkata taman permainan itu akan sangat berguna kepada tadika. “Lagipun, sudah menjadi fitrah setiap kanak-kanak untuk bermain,” katanya.

Beliau berkata KDCA dan tadika amat berterima kasih kepada semua pemain golf atas sumbangan mereka.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights