Kerajaan tidak dapat mandat tidak akan bertahan: Hajiji
MEMBAKUT: Kerajaan yang tidak mendapat mandat rakyat, tidak akan bertahan lama memerintah seperti Parti Warisan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji
Noor.
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata, pemerintahan Warisan
bukan berdasarkan mandat rakyat tetapi disebabkan ada wakil rakyat yang melompat
hingga menyebabkan kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu jatuh.
Beliau merujuk kepada wakil rakyat daripada UPKO yang melompat menyertai Warisan menyebabkan kerajaan BN jatuh.
“Selepas kira-kira dua tahun memerintah, Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan semula kerana Shafie Apdal terpaksa membubarkan kerajaan disebabkan hilang sokongan. Inilah bezanya parti yang mendapat mandat selepas wakil rakyat melompat dengan parti
yang mendapat mandat rakyat seperti GRS-BN.
“Wakil rakyat yang menyokong Warisan keluar beramai-ramai hingga menyebabkan
PRN terpaksa diadakan,” katanya di Majlis Pemimpin bersama Rakyat di Dewan Sri
Wawasan Kampung Pimping, Membakut, di sini malam Khamis.
Turut hadir Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin yang
juga Timbalan Ketua Menteri Sabah; calon BN di Kimanis Datuk Mohamad Alamin;
Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Membakut Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.
Hajiji menegaskan bahawa kerjasama antara GRS- BN pada PRN itu berjaya dan mendapat mandat rakyat untuk membentuk kerajaan negeri. Kejayaan muafakat GRS-BN di peringkat negeri dalam Pilihan Raya Negeri yang lalu akan diterjemahkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Beliau menggesa semua parti dalam gabungannya bersatu hati untuk menghadapi PRU15. Mereka mahu kestabilan politik selepas mengalami pelbagai rencah politik dalam masa lima
tahun ini.
Hajiji juga mengingatkan rakyat di negeri ini agar tidak mudah terpengaruh dengan janji pihak pembangkang sebaliiknya memberi sokongan kepada calon BN Parlimen Kimanis hingga menang pada 19 November ini.
“Jika calon GRS-BN di Kimanis menang beliau (Mohamad) akan dilantik menjadi timbalan menteri atau menteri penuh. Pemimpin seperti ini yang seharusnya menjadi pilihan dan bukannya mereka yang hanya lebih banyak bercakap dan menabur janji.
“GRS akan terus memberi sokongan kepada BN. Kita tidak bercita-cita mahu
menjadi Perdana Menteri seperti yang lain. Baru-baru ini Azis Jaman (calon
Warisan di Sepanggar) cakap kenapa hanya jawatan TPM kenapa tidak PM? Macam mana mahu jadi PM, sedangkan di Sabah pun mereka kalah?” tambahnya.
Beliau mengungkit dua tahun menjadi kerajaan negeri, pembangkang tiada hala tuju melainkan fitnah sana-sini.
“Apa yang mereka banggakan? Mereka bangga dapat menubuhkan syarikat minyak masak,
tetapi tidak pernah untung, inilah Warisan. Akhirnya kerajaan GRS-BN juga yang berusaha untuk memastikan minyak masak itu untung.
“Malah kita berjaya lagi mengeluarkan satu lagi minyak masak dikenali sebagai Sayang,” katanya.
Hajiji yang mendakwa jarang bercakap politik berkata, pencapaian selama dua tahun memerintah hingga membolehkan mereka mampu memperoleh kutipan hasil negeri sebanyak RM5.449 bilion pada tahun lalu.
Katanya, pandemik COVID-19 pada awal pemerintahan ia tidak menghalang kerajaan GRS-BN untuk mengatur strategi memulihkan ekonomi dan menjangkakan pada tahun ini kerajaan dijangka mengutip lebih RM6 bilion.
“Berbeza dengan pihak pembangkang, Datuk Shafie (Datuk Shafie Apdal) ketika
memerintah dulu, Sabah pun tidak terurus dengan baik,” katanya sambil meminta rakyat
jangan terlampau percaya dengan cakap dan janji Warisan.
– Tv Sabah News
0 Comments