Monday, December 23, 2024
Richard Jimmy

PENAMPANG: Calon pilihan raya yang menang kerusi parlimen Penampang kali ini mungkin akan ‘hilang’ lagi seperti apa yang berlaku kepada penyandang kerusi itu dahulu.

Calon bebas Richard Jimmy, 54, merujuk kepada Timbalan Presiden Parti Warisan Datuk Darell Leiking daripada dan bakal Presiden UPKO Datuk Ewon Benedict dari Pakatan Harapan yang didakwanya tidak akan dapat memberikan perkhidmatan yang diharapkan rakyat.

“Penduduk Penampang terlalu mengenali Darell sebagai seorang yang sukar ditemui. Bagi mereka, dia hanya muncul semasa pilihan raya. Beliau sudah berkhidmat sebagai ahli parlimen selama dua penggal.

“Apakah yang telah beliau lakukan untuk mengubah kehidupan penduduk Penampang? Banjir bertambah buruk. Dia boleh salahkan kerajaan. Tetapi adakah itu sahaja yang dia boleh lakukan? katanya dalam satu kenyataan.

Richard yang berasal daripada Kampung Dabak percaya parti Warisan sudah kehilangan sokongan dan kepercayaan penduduk di Penampang.

Calon calon Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedict, Richard Jimmy, Kenny Chua Dan Datuk Darell Leiking

“Warisan mendakwa ia adalah parti berbilang kaum. Tetapi adakah komuniti KDM diwakili dengan kuat? Ia hanya mempunyai tiga kerusi KDM iaitu Moyog, Limbahau dan Melalap. Kini tinggal dua sahaja selepas ADUN Melalap dan Limbahau meninggalkan parti itu,” jelasnya.

Richard berkata, Darell sebagai timbalan presiden parti juga tidak pernah menjelaskan sepenuhnya kepada rakyat di Penampang mengenai dakwaan bahawa parti itu bersimpati dengan pendatang tanpa izin.

Rakyat Sabah juga katanya, masih tertanya-tanya bagaimana beberapa siri kebakaran berlaku di kawasan setinggan sejurus selepas Warisan berkuasa pada 2018.

Tetapi yang benar-benar mengecewakan penduduk di kawasan ini ialah ‘kehilangannya’ selepas menjadi menteri dalam kerajaan persekutuan Pakatan Harapan. Penduduk tidak suka melihat gambar perjalanannya ke luar negara bagaikan pelancong tetapi sukar ditemui di kampung sendiri.

Mengenai Ewon Benedict katanya, ahli UPKO itu juga mempunyai peluang yang sangat tinggi untuk menghilangkan diri jika dia dipilih kerana dia juga adalah wakil rakyat negeri Kadamaian.

“Dia cakap boleh mengendalikan tugas di Kadamaian, Moyog dan Kapayan. Tetapi bagi rakyat, ini sama sekali tidak praktikal dan tidak realistik. Bagi mereka, ia menunjukkan bahawa dia tamak jawatan,” katanya.

Beliau mempersoalkan kenapa Ewon tidak bertanding sahaja di Kota Belud yang lebih bermakna kerana dia berasal dari sana.

“Bayangkan apabila kita memerlukan pemimpin tetapi mereka tiada di sana,” katanya menuduh UPKO juga adalah parti yang tidak boleh dipercayai.

Upko dan pemimpinnya tidak boleh dipercayai. Orang ramai tidak akan lupa bagaimana presiden Datuk Madius Tangau berbohong kepada semua orang untuk membantu menutup kes rasuah yang melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Dan orang ramai masih ingat bagaimana UPKO mendapat biaya RM1 juta daripada wang curi 1MDB,” katanya.

Katanya, orang ramai masih ingat bagaimana UPKO berikrar untuk menyokong BN selepas pilihan raya 2018 tetapi kemudian mengkhianatinya sejurus selepas ditawarkan jawatan Timbalan Ketua Menteri yang kemudian disandang oleh Madius.

Dan Ewon pula mendapat jawatan menteri penuh serta gelaran Datuk.

“Dan semasa mereka berada dalam BN, mereka menyerang dan mengutuk PH. Sekarang mereka dalam PH, mereka menyanyikan pujian untuk gabungan pembangkang Malaya. Dengan reputasi seperti ini, bagaimana kita boleh percaya mereka untuk berkhidmat kepada rakyat?

Menurut Richard, selepas pengkhianatan parti itu pada 2018, UPKO telah dihukum oleh rakyat Sabah pada 2020 di mana ia hampir dihapuskan. Daripada semua kerusi yang mereka tandingi, mereka hanya memenangi Kadamaian.

“Mereka telah menjadi parti yang tidak relevan. Mereka menyertai PH untuk survival politik. Ini bukan parti yang rakyat Sabah mahukan,” tambahnya.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights