Tuesday, December 24, 2024

BERSATU yakin Abdul Rahman mampu rampas semula kerusi KB

Mohd Syukrie Johary

KOTA BELUD: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan GRS memilih Datuk Abdul Rahman Dahlan sebagai calon BN di sini kerana beliau adalah orang paling layak untuk menjadi wakil rakyat Kota Belud.

Ketua Bersatu Datuk Japlin Akim berkata, Abdul Rahman layak kerana beliau tidak asing kepada penduduk daerah ini kerana pernah menjadi ahli parlimen Kota Belud selama dua penggal.

Japlin mengakui Abdul Rahman berjaya membawa banyak pembangunan untuk mengubah wajah daerah ini.

“Sudah tentu selama menjadi wakil rakyat, banyak pembangunan serta perubahan berjaya dibawa beliau untuk Kota Belud, termasuk menaik taraf kemudahan asas,” katanya pada Khamis.

Sehubungan itu, beliau minta pengundi Kota Belud memberi kepercayaan kepada Abdul Rahman untuk kembali sebagai wakil rakyat supaya dapat memberi perubahan besar kepada daerah itu.

Japlin turut menasihati pengundi baru tidak terpengaruh dengan janji-janji dibuat pembangkang.

Beliau juga memberi jaminan Bersatu Kota Belud akan membantu sehingga calon Barisan Nasional itu menang kerusi parlimen Kota Belud pada Pilihan Raya Umum Ke-15 yang akan diadakan pada 19 November ini.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights