Calon GRS Sandakan mahu semua penduduk Sandakan cukup makanan
SANDAKAN: Isu terbesar yang membelenggu rakyat Sabah sekarang ialah kos sara hidup yang tinggi menyebabkan ramai dihimpit kesusahan dan kemiskinan, kata Lau Chi Keong @ Thomas Lau.
Beliau Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Sandakan berkata, keadaan itu membuatkannya mahu memulihkan ekonomi Sandakan yang turut terjejas dengan keadaan ekonomi yang merundum.
“Kita mesti mempelawa pelabur tempatan mahupun asing untuk melabur di Sabah, terutamanya Sandakan.
“Banyak sumber boleh didapati di Sandakan. Selain tanah, kelapa sawit, pelancongan, rantaian bekalan, kita juga mempunyai potensi yang amat besar dalam sektor pertanian dan perikanan,” katanya di sidang media di sini pada Rabu.
Antara matlamat penting yang Lau mahu buat untuk penduduk Sandakan adalah memastikan semua penduduk di daerah itu mempunyai makanan di atas meja mereka.
Lau memberi jaminan kepada warga Sandakan jika mereka memilih untuk mengundinya sebagai ahli parlimen, beliau akan memberikan dedikasi dan masa berkhidmat untuk mereka.
Ini termasuk membangun infrastruktur, kebajikan, kesihatan dan pendidikan untuk penduduk Sandakan, katanya.
Beliau yakin pengalamannya dalam perkhidmatan awam dan perniagaan membolehkannya memberi khidmat yang lebih efektif kepada penduduk Sandakan.
Lau berkata, pengalaman berkhidmat di Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) memberikannya pemahaman dan pengetahuan yang lebih jelas tentang fungsi kerja kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.
Menurut Lau, kelebihan ini membolehkan beliau melaksanakan tugas dengan lebih pantas dan memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan.
“Saya faham tentang sistem dan struktur pentadbiran kerajaan.”
“Selepas saya bersara, saya ada masa 16 tahun dalam perniagaan. Maka saya juga mempunyai pengalaman, pengetahuan dan kenalan di kalangan komuniti perniagaan yang sudah pastinya akan membantu saya dalam kerja saya untuk membantu rakyat di sini,” kata Lau.
Lau mempunyai Diploma Dalam Kesihatan Awam dari Royal Society of Health London dan Institut Kesihatan Awam Republik Singapura. Beliau mula bekhidmat di MPS pada tahun 1973 dan menjawat jawatan Timbalan Presiden MPS dari 1999 sehingga beliau bersara pada 2005
– Tv Sabah News
0 Comments