Tuesday, December 24, 2024

Dr Max, Maijol akhirnya berbaik demi untuk parti

KOTA MARUDU: Orang Sabah bilang, keliling sana sini berjumpa juga di kedai kopi. Bermasam-masam muka, sesudu gula juga pemanis kopi. Datuk Maijol Mahap dan Datuk Seri Dr Maximus Ongkili bertemu di kedai kopi untuk melupakan perbezaan politik mereka pada Rabu.

Dua ahli politik veteran ini pernah menjadi musuh politik. Tetapi hari ini mereka melupakan buat sementara waktu perbalahan yang wujud demi untuk kemenangan parti politik yang mereka wakili dalam pilihan raya umum ke-15 yang akan diadakan kurang daripada dua minggu.

Maijol yang merupakan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kota Marudu pernah tiga kali bersaing kerusi Parlimen Kota Marudu menentang Ongkili yang mana beliau sentiasa menjadi pencabar terdekatnya.

Pertemuan mereka disertai oleh Datuk Anita Baranting dari Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
Ketiga-tiga mereka adalah kawan tetapi pada satu masa merupakan musuh politik. Anita adalah bekas ketua Wanita PBS.

Dalam pertemuan pada Rabu, mereka bertiga membincangkan strategi untuk membantu calon menang di Kampung Damai, di sini pada Rabu.

Pada pilihan raya umum lalu, Dr Maximus yang merupakan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) memperoleh majoriti 1,774 undi dengan 13,033 undi manakala Maijol di tempat kedua mendapat 11, 259 undi atas tiket Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS).

STAR adalah ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS), manakala PHRS adalah parti yang mesra kepada gabungan itu.

Anita sebelum ini berkata, pemergiannya keluar dari PBS tidak ada kaitan dengan perasaan sakit hati terhadap Dr Maximus atau PBS.

“Ia adalah tekanan dalam pembangkang (ketika itu), kerana orang ramai menuntut pembangunan. Tetapi itu masa lalu. Apa yang penting sekarang ialah memastikan kemenangan untuk calon kita (Ongkili) supaya dia boleh terus membawa pembangunan untuk Kota Marudu,” katanya.

Dr Maximus yang bertanding menggunakan bendera GRS, menghadapi persaingan enam penjuru dengan empat lawannya daripada parti politik dan seorang bebas.
Mereka ialah Datuk Wetrom Bahanda dari Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Sharizal Denci (Perikatan Demokratik Bersatu Malaysia), Datuk Jilid Kuminding (Warisan), Mohd Azmie Zulkiflee (Pejuang Tanah Air) dan calon bebas tunggal, Norman Tulang.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights