APMM rampas pelbagai barangan kawalan di Tawau
Nilam Raon
TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tawau merampas pelbagai jenis barang kawalan, subsidi dan kosmetik bernilai RM115,000 pada Isnin di Jeti Pelabuhan Tawau.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pihaknya mengesan sebuah bot kargo dalam keadaan mencurigakan bergerak dari perairan Tawau menuju ke Pulau Sebatik pada jam 3.40 petang.
Menurutnya, pemeriksaan awal ke atas bot itu mendapati dua lelaki iaitu seorang warga tempatan berusia 45 tahun bertindak sebagai juragan bersama seorang lelaki warga Indonesia berumur 35 tahun membawa muatan pelbagai barangan runcit di dalam bot itu.
“Hasil pemeriksaan kami jumpa gula pasir (1,776 kg), minyak masak paket (867 kg), minyak petrol (375 liter) dman enam tong gas berisi LPG yang disembunyikan di bawah timbunan barangan runcit.
“Kami turut menemukan sejumlah besar produk-produk kosmetik pelbagai jenama dipercayai cuba diseludup ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan.
Shahrizan berkata, pemeriksaan ke atas dokumentasi mendapati juragan itu gagal mengemukakan permit dan lesen yang sah berkaitan barang kawalan dan produk kosmetik yang dibawa.
Katanya, bot dan muatan serta kedua-dua kru bot ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 Dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Tangkapan Zon Maritim Tawau terkini merekodkan 55 kes pelbagai kesalahan iaitu 10 kes direkodkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 sejak awal Januari 2022.
– Tv Sabah News
0 Comments