Peningkatan jumlah calon Parlimen Sabah petanda demokrasi baik: Goh

KOTA KINABALU: Jumlah calon parlimen Sabah yang meningkat dalam pilihan raya umum (PRU15) kali ini berbanding sebelum ini adalah petanda bahawa demokrasi Sabah berada di laluan yang menggalakkan, kata Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sabah (FCAS) Tan Sri T C Goh.
Beliau berharap sebaik sahaja pilihan raya berakhir, kerajaan persekutuan baharu akan memberi perhatian yang lebih terhadap hak Sabah dan pembangunan dalam pelbagai sektor. Pilihan raya akan diadakan pada 19 November ini.
Hari penamaan calon yang diadakan pada Sabtu (5 Nov) menyaksikan seramai 125 calon berjaya memfailkan pencalonan untuk bertanding di 25 kerusi parlimen di Sabah dan satu di Wilayah Persekutuan Labuan.
Daripada jumlah itu 119 calon bertanding di 25 kerusi parlimen di Sabah, dan enam calon bagi kerusi Parlimen Labuan.
Jumlah itu menyaksikan peningkatan seramai 24 calon parlimen, berbanding 101 calon parlimen pada pilihan raya umum ke-14 yang diadakan pada 2018, di mana 97 calon untuk 25 kerusi parlimen di Sabah.
Empat calon bertanding untuk kerusi parlimen tunggal di Labuan.
Jumlah calon Bebas juga bertambah dan dalam PRU15 ini, Goh tidak menolak kemungkinan berlaku perpecahan undi tetapi pada masa yang sama, beliau percaya tumpuan utama pengundi adalah parti politik dan calon yang benar-benar mampu berkhidmat kepada mereka.
“Beginilah cara demokrasi berfungsi, iaitu membenarkan rakyat mengundi dalam pilihan raya untuk memilih kerajaan baharu untuk mentadbir negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Goh, yang juga Presiden Persekutuan Sabah dan Persatuan Hokkien Labuan (FSLHA) mengulas keputusan hari penamaan calon di seluruh negara, yang turut meliputi Sabah dan Sarawak.
Beliau juga mengulangi bahawa kedua-dua negeri Borneo akan terus memainkan peranan penting, sebagai ‘King maker’, dalam PRU15 akan datang, di mana hari pengundian telah ditetapkan pada 19 November.
Katanya, berdasarkan fakta daripada 222 kerusi parlimen Dewan Negara, Sarawak membentuk 31 kerusi parlimen dan Sabah ada 26 kerusi parlimen termasuk satu di Labuan.
Kedua-dua negeri itu mempunyai lebih satu perempat daripada jumlah keseluruhan kerusi parlimen.
Oleh itu, kem politik yang berhasrat membentuk kerajaan persekutuan perlu berusaha untuk memenangi kesetiaan dan sokongan parti politik dari Sabah dan Sarawak.
Beliau menggesa pengundi Sabah untuk menggunakan hak mengundi dengan bijak untuk memperjuangkan hak dan kepentingan Sabah dengan lebih baik.
Selain itu, Goh juga berharap sesiapa sahaja yang akan membentuk kerajaan persekutuan yang baharu selepas pilihan raya umum nanti, mereka haruslah berusaha untuk memulihkan autonomi Sabah dan meningkatkan pembangunan keseluruhannya.
– Tv Sabah News
0 Comments