Tuesday, December 24, 2024

Calon BN mahu bawa kemajuan di DUN Bugaya

Abdul Aziz Ibno, calon BN
Jamil Hamzah calon Warisan

Nilam Raon


SEMPORNA: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dun Bugaya, Abd Aziz Mohd Ibno mahu membawa pembangunan mampan yang memberi manfaat kepada penduduk di kawasan ini.

Beliau yang mesra dengan gelaran ‘Cikgu Aziz’ bertekad untuk membawa Bugaya daripada kemiskinan.

Menurutnya, Dun Bugaya adalah DUN yang unik dan penduduknya yang terdiri daripada pelbagai status sosial yang mempunyai pelbagai kemahuan namun apa yang mereka benar-benar mahu adalah pembangunan.

“Pembangunan bukan hanya bersifat membina bangunan tinggi semata-mata tetapi yang lebih penting pembangunan yang dapat menjana ekonomi dari sektor pertanian, perikanan dan keusahwanan.

“Bugaya Dun yang luas dan ramai golongan intelektual, usahawan, petani, nelayan yang mempunyai aspirasi berbeza sebab itu jika diberi peluang di Dun ini saya akan melihat potensi pembangunan mampan,” katanya ketika ditemui pada hari kedua kempen di sini Ahad.

Katanya, apabila ada pembangunan mampan maka secara automatik kawasan itu akan menawarkan sektor pekerjaan yang memberi peluang kepada mereka meningkatkan taraf
Hidup.

Sementara itu pencabar paling sengit bagi kerusi itu, Haji Jamil Hamza dari Parti Warisan pula turut membawa misi yang hampir sama iaitu mahu menyelesai isu kerosakan prasarana di Dun Bugaya.

“Penduduk di sini mahukan jalan di kawasan Bugaya diperbaiki, masalah air dan masalah elektrik juga dibaiki. Saya yakin parti kita mampu untuk menyelesaikan masalah ini.

“Keperluan asas itu penting dan walau sudah merdeka selama 60 tahun kita masih tak boleh selesaikan masalah ini. Jika saya dipilih saya akan cuba selesaikannya,” katanya.

Jamil berkata, sebagai calon muka baharu yang ditampilkan parti menjadi cabaran kepada dirinya untuk membawa kemenangan sekaligus mempertahan kerusi yang sebelum ini dimenangi Warisan melalui Allahyarhamah Manis Muka Mohd Darah.

Kerusi DUN Bugaya yang ada 32,761 pemilih berdaftar menghadapi persaingan tujuh penjuru antara calon BN, Warisan, PH-PKR, Parti Bang Malaysia (PBM), Pejuang Tanah Air, Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) dan Bebas.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights