Pencalonan Peter di Tenom ditolak, penyokong kecoh
TENOM: Sah Datuk Peter Anthony tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-15 bagi kerusi kawasan Parlimen Tenom selepas pencalonannya ditolak oleh pengurus pilihan raya daerah itu, pada Sabtu.
Menurut portal berita Astro Awani, semakan di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapati hanya lima calon rasmi disenaraikan bertanding merebut kerusi parlimen Tenom.
Mereka ialah penyandang kerusi berkenaan, Noorita Sual daripada Pakatan Harapan (PH). Beliau akan disaingi oleh calon Barisan Nasional (BN) Jamawi Jaafar; Ukim Buandi (Parti Warisan); serta dua calon Bebas masing-masing Riduan Rubin dan Peggy Chaw Zhi Ting.
Belum ada alasan penolakan itu tetapi media sosial termasuk portal berita menyebut mengenai pensabitan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) itu atas kesalahan memalsukan dokumen palsu berhubung kontrak kerja penyelenggaraan sistem di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Menurut Utusan Malaysia, Peter yang juga bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu berjaya menggantung hukuman penjara yang disabitkan terhadapnya atas kesalahan itu.
Berikutan penolakan itu, proses penamaan calon di Dewan DSP Antanom kecoh apabila penyokong yang tidak puas hati menimbulkan provokasi sehingga memaksa Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) melepaskan gas pemedih mata.
Pasukan FRU melepaskan gas pemedih mata bagi meleraikan penyokong yang membawa bendera Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat.
Kekecohan itu kini tular di media sosial.
Peter dikatakan membuat laporan polis dan dijangka mengadakan sidang media di Tenom lewat Sabtu.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 1 Ogos lalu menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu.
– Tv Sabah news
0 Comments