Tuesday, December 24, 2024

Calon GRS janji mahu bawa banyak pelabur di Sandakan

Lau Chi Keong (tiga dari kanan) bersama calon-calon lain.

SANDAKAN: Calon Ahli Parlimen Sandakan Lau Chi Keong @ Thomas Lau (GRS-SAPP) bertekad membawa Sandakan kepada sebuah daerah yang lebih membangun.

Jelasnya, antara yang diperlukan adalah lebih banyak pelaburan dapat dibawa masuk ke Sandakan sekaligus peluang kerja dapat disediakan lebih banyak lagi.

Sementara hubungan BIMB-EAGA juga perlu diperkukuh dalam usaha menarik lagi banyak peluang niaga dan membangun Sandakan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas penamaan calon PRU15 bagi kerusi Sandakan di Pusat Penamaan Calon di Dewan Masyarakat Sandakan pada Sabtu.

Lau akan bersaing dengan penyandang kerusi itu Vivian Wong Shir Yee (Pakatan Harapan),
Hu Chang Lik @ Hii Chang Lik (Bebas) Thien Ching Qiang (Warisan), Lokeman Hazli Azali (Bebas) dan Lita Tan Abdullah (Bebas).

Beliau berharap, pengundi bijak menilai siapa wakil pemimpin Sandakan agar dapat membawa suara rakyat kelak di Dewan Rakyat.

Lau berusia 73 tahun dan merupakan seorang anak jati Sandakan. Beliau pernah berkhidmat sebagai timbalan presiden Majlis Perbandaran Sandakan dari tahun 1999 hingga 2005.

Lau juga bergiat aktif dalam kerja-kerja amal bersama beberapa badan NGO. Beliau menyertai parti SAPP dan dilantik sebagai naib pengerusi zon Sandakan tahun lalu. Lau kemudian dipilih naib presiden semasa kongres parti SAPP bulan September lalu.

Beliau telah berkecimpung dalam perniagaan setelah bersara dari perkhidmatan awam negeri pada tahun 2005 dan dilantik sebagai Ketua Masyarakat Cina (Kapitan) Tanjong Papat pada bulan Disember 2021.

Sebelum itu, beliau pernah dilantik sebagai Kapitan Taman Sibuga dari tahun 2014 sehingga 2018.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights