500 anak pokok Bakau ditanam di hutan simpan Jalan Wakuba
Nilam Raon
TAWAU: Sebanyak 500 anak pokok spesies Bakau Kurap (Rhizophora Mucronata) dan Bakau Api-Api (Avicennia) ditanam untuk Kempen Penghijauan Malaysia di Hutan Simpan Jalan Wakuba, semalam.
Pegawai Perhutanan Wilayah Tawau, Sofiean Mohd Saibi berkata, kempen yang diperkenal pada tahun 2021 sehingga 2025 itu mensasarkan penanaman 100 juta pokok seluruh negara dengan Sabah sebanyak 40 juta pokok.
Menurutnya, ketika ini Sabah sudah menanam sebanyak 9.9 juta pokok hasil kerjasama daripada pelbagai agensi dan individu.
“Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) sentiasa melipatgandakan usaha bersepadu dan berterusan untuk pemulihan hutan bakau di kawasan hutan simpan yang diceroboh,” katanya.
Katanya, program Tanggungjawab Korporat Sosial (CSR) untuk menanam pokok bakau itu diadakan bersama JPS, Politeknik Sandakan dan Syarikat Asia Aquaculture (M) Sdn Bhd.
Sabah mempunyai 234,680.27 hektar keluasan hutan bakau Kelas V dengan keluasannya 6.5 peratus daripada seluruh jumlah hutan simpan di Sabah.
“Sabah mempunyai keluasan hutan paya bakau yang terbesar di Malaysia, iaitu lebih kurang 60 peratus daripada keluasan hutan paya bakau di Malaysia.
“Sehingga 2021, JPS telah menanam semula kira-kira 1,800 hektar kawasan hutan bakau yang tersorot dan juga pemulihan akibat pencerobohan,” katanya lagi.
Dalam pada itu beliau berkata, kerjasama erat antara sektor korporat dan kerajaan menerusi konsep National Blue Ocean Strategy dan Sustainable Development Goals (SDG) harus diteruskan bagi pemeliharaan hutan serta alam sekitar.
Seramai 34 penuntut dan tiga pensyarah Akuakuktur Politeknik Sandakan terlibat menjayakan program itu yang turut disertai Naib Presiden Kanan Asia Aquaculture (M) Sdn Bhd, Sunthorn Chuanklin.
– Tv Sabah News
0 Comments