CALON BN LABUAN HARAP KEMPEN PRU15 BERADAB, TIADA SERANGAN PERIBADI, FITNAH
LABUAN- Calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Labuan Datuk Bashir Alias mengharapkan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijalankan dengan lebih ‘beradab’ dan mengelakkan sebarang serangan peribadi atau fitnah.
Katanya Labuan hanya mempunyai satu kerusi Parlimen, dan berkempen dengan melakukan serangan peribadi serta fitnah hanya memecah-belahkan perpaduan masyarakat berbilang-kaum di pulau bebas cukai di sini.
“Biarlah berkempen secara berhemah dan bukan memilih untuk menyerang secara peribadi atau fitnah. “Bagi saya, warga Labuan sudah matang untuk menilai kesemua ini yang hanya bermatlamatkan untuk menjatuhkan nama baik seseorang dengan cara yang tidak baik,” katanya kepada pemberita selepas kembali dari menerima surat watikah pencalonannya bagi PRU15.
Bashir dijangka berdepan calon dari parti Warisan Datuk Rozman Isli, selain dari Bersatu, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) dan Pakatan Harapan (PH).
Dalam pada itu, Bashir yang merupakan Ketua Umno Bahagian Labuan merangkap Pengerusi BN Labuan mengakui pengundi muda berumur 18 tahun dan ke atas boleh menjadi penentu kemenangan kepada mana-mana calon dalam PRU15 kali ini.
“Kita melihat pertambahan jumlah pengundi dalam daftar pemilih melebihi 50 peratus dan sekiranya peratusan pengundi muda tinggi sudah tentu menjadi penentu kepada kemenangan calon,” katanya.
Katanya manifesto BN Labuan seiring dengan manifesto BN pusat dengan memberi fokus kepada pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat.
Bashir juga berkata jentera BN Labuan telah bersiap-sedia dalam PRU15 ini sejak BN tumbang dalam PRU14.
“Kesemua jentera BN, khususnya dari Umno telah turun padang bersama rakyat untuk menangani pelbagai permasalahan rakyat,” katanya.
Labuan kini mempunyai seramai 44,484 pengundi berbanding 28,356 pada PRU14.
– BERNAMA
0 Comments