Bersatu, Umno akan pastikan kemenangan Joniston
Mohd Syukrie Johary
TUARAN: Parti Pribumi Rakyat Bersatu (BERSATU) dan UMNO Tuaran menjalinkan kerjasama erat untuk memastikan kemenangan calon kerusi Parlimen Tuaran, Datuk Joniston Bangkuai.
Ketua Menteri yang juga presiden GRS Datuk Seri Hajiji Noor berkata, semua parti gabungan GRS dan Barisan Nasional (BN) seperti UMNO perlu bekerja keras dalam satu pasukan untuk menjamin kemenangan calon GRS di Parlimen Tuaran itu nanti.
Joniston akan bertanding atas tiket Parti Bersatu Sabah (PBS) yang berada dalam gabungan GRS untuk merebut Parlimen Tuaran pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
“Jentera pilihan raya GRS dan BN mesti lebih untuk membantu Joniston menang cemerlang kerusi Tuaran pada PRU15 kali ini.
“Ini adalah waktunya untuk GRS dan BN menunjukkan kerjasama erat dalam berkempen demi kejayaan calon yang kita letak di sana,” katanya melancarkan jentera pilihan raya GRS BN di Dewan Bersatu Tuaran, di sini Khamis.
Turut hadir, calon GRS Parlimen Tuaran Datuk Joniston Bangkuai; calon BN Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Pembantu Menteri Kewangan negeri, Datuk Jasni Daya.
Hajiji berharap penyokong GRS dan BN tidak mengulangi kesilapan dengan memilih wakil rakyat yang gagal menunaikan tanggungjawab kepada pengundi di daerah ini seperti berlaku pada PRU14.
Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, ini bukan waktunya parti dalam GRS dan BN berselisih pendapat, sebaliknya menjalinkan kerjasama bagi memastikan kejayaan calon GRS di Tuaran.
0 Comments