PRU15: GRS, BN MASIH BINCANG CALON KERUSI PARLIMEN BELURAN – BUNG MOKTAR
KOTA KINABALU – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) masih meneruskan rundingan bagi menentukan calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen Beluran pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU), kata Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Bung Moktar berkata keputusan siapakah calon yang akan bertanding bagi kerusi parlimen itu akan diumumkan sebelum proses penamaan calon yang dijadualkan pada 5 Nov ini.
“Masih dalam perbincangan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengumuman calon GRS-BN bagi PRU15 di sini, hari ini. Pada majlis itu, GRS mahupun BN tidak mengumumkan sebarang calon bagi mewakili kerusi Parlimen Beluran.
Kerusi Parlimen Beluran disandang oleh Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan.
Dalam perkembangan lain, Bung Moktar berkata bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman setakat ini tiada memberitahunya untuk membuat kemunculan semula pada pilihan raya kali ini.
“Setakat ini, tiada. Dia (Musa) tiada cakap dia mahu buat kemunculan semula,” katanya ketika ditanya desas desus Musa bakal bertanding pada PRU15.
Bung Moktar berkata Timbalan Menteri Kewangan II Datuk Yamani Hafez Musa pula yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Sipitang menolak untuk dicalonkan pada PRU15.
Yamani Hafez, juga anak kepada Musa, menang kerusi Parlimen Sipitang atas tiket BN pada PRU14, sebelum menyertai Bersatu.
Datuk Matbali Musah (GRS-Bersatu) dinamakan sebagai calon kerusi Parlimen Sipitang pada PRU15.
– BERNAMA
0 Comments