Tuesday, December 24, 2024

Bukit Perahu lebih mencabar berbanding Gunung Kinabalu

Pemandangan waktu senja di puncak Bukit Perahu Ruhiang, Tamparuli.

Mohd Syukrie Johary

TAMPARULI: Walaupun tidak setinggi Gunung Kinabalu, namun cabaran mendaki hingga ke puncaknya sentiasa ada lebih-lebih lagi dengan keadaan laluannya yang agak tinggi sehingga mencapai kecuraman 80 hingga 90 darjah.

Itulah penangan Bukit Perahu yang terletak di Kampung Ruhiang, Tamparuli. Ia mula dikenali ramai selepas dijadikan lokasi sesuai untuk kegiatan sukan lasak luncur udara atau paragliding sejak 2009.

Bukit itu adalah antara tujuh lokasi kegiatan luncur udara di Sabah iaitu Kokol Menggatal; Mount Kinabalu South Peak; Kampung Lohan Ranau; Bukit Lohan Ulu Ranau; Bukit Sim Sim Sandakan dan Trig Hill di Sandakan.

Bagi penduduk Tamparuli, bukit yang mempunyai berketinggian lebih 1,500 meter itu lebih dikenali Bukit Perahu kerana menyimpan lagenda tersendiri. Bagi penganut agama Katolik pula puncak bukit itu lebih dikenali sebagai St Veronica.

Pekan Tamparuli yang dilihat dari puncak Bukit Perahu Ruhiang, Tamparuli.

Walau apapun nama diberikan, Bukit Perahu tetap menguji ketahanan, kekuatan serta ketabahan setiap pendaki yang ingin menawan puncaknya untuk menikmati keindahan alam.

Bagi pendaki yang pantas bergerak dan sudah biasa dengan laluan di situ, mereka berupaya sampai ke puncak dalam tempoh 15 minit hingga 20 minit, sama ada dengan berlari atau mendaki secara biasa tanpa henti.

Bagaimanapun, mereka yang pertama kali melakukan pendakian ada yang terpaksa mengambil waktu panjang sehingga 40 minit hingga sejam apabila terpaksa beberapa kali berhenti rehat.

Lazimnya, pendakian bermula seawal jam 4 pagi oleh mereka yang ingin menyaksikan keindahan matahari terbit dari arah Gunung Kinabalu, manakala pendakian terakhir sebelum matahari terbenam jam 6 petang.

Difahamkan, lebih 100 pengunjung melakukan pendakian untuk menawan puncak atau tujuan riadah di bukit itu setiap hari, kecuali ketika cuaca buruk.

Melihat sambutan menggalakkan di kalangan pendaki bukit tertinggi di Tamparuli itu, kerajaan mengambil pendekatan membina tangga konkrit hingga ke puncak dengan laluan dilengkapi lampu solar sebagai kemudahan pengunjung tempat itu siap awal tahun ini.

Bagaimanapun, tiada kemudahan asas lain disediakan seperti papan nama tempat, papan tanda peringatan larangan membawa haiwan seperti anjing ketika mendaki dan ruang parkir kenderaan di kaki bukit. Di puncak juga tidak disediakan tempat duduk, pondok berteduh serta tandas.

Pendaki tegar Jerry Junim, 28, mengakui menghadapi cabaran setiap kali mahu menawan puncak Bukit Perahu. Dia menyamakan cabaran pendakian itu sama seperti mendaki Gunung Kinabalu.

Tangga konkrit menuju puncak Bukit Perahu Ruhiang, Tamparuli siap awal tahun ini.

“Saya seorang malim Gunung Kinabalu, namun saya akui cabaran agak luar biasa setiap kali mendaki Bukit Perahu disebabkan laluannya banyak yang curam mencapai 80 hingga 90 darjah dan berbatu besar,” katanya.

Beliau yang sering melakukan riadah di bukit itu bersama rakan, sudah menawan puncak bukit itu lebih 10,000 kali sejak lima tahun lalu.

– TV Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights