Tuesday, December 24, 2024

Program untuk perkasa golongan belia Sabah

Andi (tengah) menyampaikan geran kepada salah satu persatuan belia di bahagian Tawau.

Nilam Raon


TAWAU: Memperkasa golongan belia adalah fokus Kerajaan Negeri Sabah untuk membabitkan mereka dalam pelbagai bidang terutama dalam pelaksanaan pentadbiran negeri.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Andi Muhamad Suryadi Bandi berkata, beliau di kawasan bandar dan pedalaman akan diberi peluang yang sama untuk sama-sama membangunkan negeri ini.

“Pelbagai program dibangunkan untuk tujuan itu termasuk Program Felo Sabah Maju Jaya (Felo SMJ) iaitu penglibatan belia secara langsung dalam urusan pentadbiran negeri.

“Antara matlamat Felo SMJ adalah melaksanakan Pelan Tindakan Pendigital Kementerian Kerja Raya Sabah yang sehingga kini digunakan oleh agensi berkenaan,” katanya di Majlis Ramah Mesra Bersama Belia di Tawau.

Selain itu katanya, kerajaan juga memperkenalkan Program Dana Skim Usabawan Jaya Belia (Syabas) dan sehingga kini sudah menerima 3,339 permohonan. Tujuan program ini adalah membantu para belia memulakan perniagaan atau memulihkan perniagaan akibat pandemik Covid-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu itu berkata, kerajaan menyuntik semangat kepada persatuan belia dengan menyalurkan dana agar mereka akan kekal aktif selepas pandemik Covid-19.

Di majlis itu buat julung kalinya Anugerah Khas Pembantu Menteri kepada belia yang banyak menyumbang dari segi kepimpinan, keusahawanan serta kesukarelawanan telah disampaikan.

Kementerian Belia dan Sukan Sabah turut menyampaikan penghargaan kepada pelajar yang cemerlang dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan sumbangan peralatan sukan kepada sekolah sekitar daerah Tawau.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights