RINA UCAP TERIMA KASIH KEPADA KETUA MENTERI
Nilam Raon
TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kukusan, Rina Jainal menghargai kepercayaan yang diberikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di atas pelantikan beliau sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Negeri, hari ini.
Dalam satu kenyataan kepada media, Rina yang juga Timbalan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) berkata, amanah dan kepercayaan yang diberikan akan digalas dengan sebaik mungkin.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri dan saya berbesar hati menerima tanggungjawab, amanah dan kepercayaan yang diberikan.
“Saya menerima jawatan ini sebagai satu cabaran apatah lagi saya adalah pendatang baharu dalam dunia politik,” katanya.
Rina berkata beliau akan terus membawa lebih banyak suara penduduk dari daerah Tawau dan Kalabakan ke peringkat lebih tinggi.
“Setinggi penghargaan diucapkan kepada Ketua Menteri kerana sentiasa bersikap holistik dan terbuka dalam pentadbiran Negeri tanpa meminggirkan parti kecil seperti Harapan Rakyat.
“Biar pun parti kami kecil dan berpusat di Tawau, beliau tetap melihat potensi dan menaruh kebolehpercayaan terhadap kami untuk turut sama memantapkan lagi pentadbiran Negeri Sabah pada masa akan datang,” katanya lagi.
– TV Sabah News
0 Comments