Friday, April 11, 2025

Sabah, Sarawak patut sudah lama ada TPM

Datuk Seri Dr Maximus Ongkili

KOTA MARUDU: Jawatan Timbalan Perdana Menteri sepatutnya sudah lama diberi kepada pemimpin dari Sabah dan Sarawak, kata Presiden Parti Bersatu Sabah Datuk Seri Dr Maximus Ongkili ketika mengalu-alukan cadangan terbaru yang dikemukakan oleh Kuala Lumpur itu, semalam.

Beliau menyifatkan tawaran itu sebagai “sudah lama tertangguh.”

Beliau merujuk kepada pelantikan timbalan perdana menteri bagi Sabah dan Sarawak yang pernah dibincangkan dalam Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) berikutan permintaan orang ramai khususnya rakyat Sabah dan Sarawak meminta Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan cadangan itu.

“Malah, Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu sedang mengkaji mengenai status sama rata Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan,” kata Ongkili, yang juga menteri sementara di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).

Ongkili menegaskan bahawa PBS, sebagai ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyokong sepenuhnya cadangan itu.

“Ia sudah lama tertangguh. Sebarang tindakan untuk melaksanakan pemberian jawatan itu adalah konsisten dengan peruntukan perlembagaan yang memberikan status sama rata kepada Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.”

Menurut Ongkili selepas pilihan raya umum ke-15 selesai, PBS akan mencadangkan isu ini sebagai agenda pertama dalam mesyuarat MKMA63 iaitu meluluskan cadangan tiga timbalan perdana menteri bagi Malaysia.

“Ia akan mewakili Malaysia baharu. Ia boleh menjadi lonjakan besar bagi Persekutuan Malaysia dan saya yakin ia akan dipersetujui sebulat suara oleh MKMA63,” kata penyandang Ahli Parlimen Kota Marudu itu.

Cadangan itu disuarakan oleh Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di majlis Gelombang Biru Zone 3 Sabah di Kimanis, baru-baru ini semalam.

Beliau berkata, BN Sabah harus mencadangkan perkara itu kepada Perdana Menteri sementara Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk dimasukkan dalam manifesto PRU15. Pilihan raya umum akan diadakan pada 19 November ini.

Zahid berkata, tidak mustahil negara ini mempunyai tiga timbalan perdana menteri.

– TV Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights