SPR, JPN diminta perjelas pada Selasa
TENOM: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mempunyai masa sehingga Selasa depan untuk menjelaskan sebab berlaku lonjakan jumlah pengundi baharu di Sabah yang meragukan.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, mereka sudah membincangkan isu itu dalam Kabinet Negeri pada Rabu lalu dan sebulat suara meminta SPR dan JPN memberi penjelasan pada Selasa depan.
Beliau berkata, lonjakan jumlah pengundi baharu dalam daftar pemilih
terbaharu yang dikeluarkan SPR di semua kawasan Parlimen di Sabah adalah
meragukan.
“Ada sesuatu yang meragukan kita dan kita sudah bincang isu ini di peringkat Kabinet pada Rabu lalu. Kita minta penjelasan daripada SPR dan Pengarah JPN pada Selasa depan,” katanya di majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Tenom pada Sabtu.
Majlis diadakan sempena Program Jelajah GRS Kawasan Tenom, di Dewan Datuk Seri
Panglima Antenom, Tenom.
Hadir di majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Dr Maximus Ongkili; Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Penyelaras GRS Tenom,
Datuk Rubin Balang.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, lonjakan pengundi baharu itu kebanyakannya didaftarkan sebagai Melayu dan mungkin bukan berasal dari negeri ini atau dari Semenanjung.
Katanya, perkara yang meragukan itu perlu dijelaskan oleh SPR kerana ia bukan
sesuatu yang boleh dipandang ringan.
“Ini tidak boleh dipandang mudah. Orang lain nanti datang ke kawasan kita. Kita tidak
mahu orang dapat kuasa dari peti undi dengan cara ini, sebab itu kita buat laporan
dengan pihak yang berkenaan,” tegasnya.
Hajiji berkata, pihaknya mahu mendapatkan penjelasan SPR berhubung isu itu selepas ia dibangkitkan rakan parti dalam GRS, termasuk Jeffrey.
Daftar pemilih terbaharu yang dikeluarkan SPR menunjukkan Sabah kini ada
1.68 juta pengundi berbanding 1.1 juta pada 2018 iaitu peningkatan 53.9
peratus.
Daftar pemilih yang diwartakan pada Julai lalu menunjukkan Parlimen Sepanggar
mencatat jumlah pengundi tertinggi iaitu 107,463 orang diikuti Lahad Datu
(99,741) dan Tawau (87,189).
-Tv Sabah News
0 Comments