Friday, April 11, 2025

Mohammaddin Ketapi pertahan kerusi Lahad Datu

Zakaria Bin Hamid (bertopi) sampaikan watikah perlantian kepada Rusli Miting, Ketua Penerangan PBM Lahad Datu

Ryio Kenji

LAHAD DATU: Pengerusi Parti Bangsa Malaysia (PBM) Lahad Datu Datuk Mohammaddin Ketapi mahu semua ahli jawatankuasa yang dilantik bekerja keras bagi memastikan calon parti menang besar dalam Pilihanraya Umum ke-15 (PRU 15).

“Semua ahli jawatankuasa yang dipilih perlu bekerja keras supaya kemenangan besar dalam PRU15 nanti dicapai. Inilah masa kita berjuang habis-habisan”, katanya di Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan AJK Bahagian di Pejabat Ahli Parlimen Lahad Datu Taman CL, Jalan Asam pada khamis.

Mantan Ahli Parlimen Lahad Datu yang dulu dikenali Parlimen Silam itu sedia untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya atas tiket Parti Warisan dalam pilihan raya 2018.

Kali ini beliau akan bertanding atas tiket PBM.

Dalam PRU14 Mohamaddin mendapat 23,352 undi mengalahkan tiga calon lain Datu Nasrun Datu Mansur dari Barisan Nasional (Umno) yang mendapat 16,951 undi, Ramli Pataruddin calon PAS (1,431) dan Siti Shazianti Ajak dari Parti Harapan Rakyat (1,306).

Beliau turut menggesa semua ketua cawangan PBM untuk mengenal pasti pengundi-pengundi yang ada dalam senarai mereka benar-benar mengundi pada PRU15 nanti.

Seramai sembilan orang menerima watikah perlantikan jawatankuasa PBM Lahad Datu iaitu
Datuk Mohamaddin Ketapi selaku Pengerusi , Mohd Indah Habib @Abib (Timbalan Pengerusi), Abdul Rahman Hamid (Naib Pengerusi), Omar Ibrahim (Setiausaha), Datuk Mohammaddin etapi (Bendahari), Rusli Miting (Ketua Penerangan), Mariani Utek (Ketua Wanita), Rosniah Itit Tuar@ Modia (Ketua Wanita Muda) dan Razmi Jupati (Ketua Pemuda).

Watikah perlantikan disampaikan Naib Presiden PBM Zakaria Hamid merangkap Ketua Penerangan Pusat PBM.

Dalam pada itu Zakaria menzahirkan rasa penghargaan kepada ahli-ahli PBM yang bersedia memberikan komitmen sejurus selepas jawatankuasa PBM Lahad Datu dibentuk.

Beliau juga berharap ahli-ahli PBM di daerah ini akan lebih fokus dengan mengatur strategi yang lebih mampan untuk memastikan Mohamaddin kekal sebagai Ahli Parlimen Lahad Datu sekali lagi.

“AJK bahagian yang dilantik perlu bekerja keras untuk memastikan Ahli Parlimen dapat mengekalkan kerusi Parlimen pada PRU -15 ini, katanya.
Kali ini PBM akan menghadapi persaingan yang sengit daripada parti-parti yang mengetengahkan calon senior untuk merebut kerusi Parlimen P.188 Lahad Datu.
-TV Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights