RUU Anti Lompat Parti Bagi Negeri Perlu Disokong
Nilam Raon
TAWAU: Rang undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti yang bakal diusul dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu disokong secara positif oleh semua pihak demi kestabilan negeri.
Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, RUU ini perlu dijadikan satu akta dan undang-undang demi kepentingan dan kestabilan kerajaan.
Menurutnya, setiap ahli DUN perlu merealisasikan RUU Anti Lompat Parti ini dapat dilaksanakan di negeri ini agar rakyat sentiasa yakin terhadap pemimpin yang mereka pilih.
“Kita juga tidak mahu lagi berlakunya perkara-perkara yang boleh mengugat kestabilan politik dan kerajaan yang sedia ada di negeri ini sehingga kepercayaan rakyat pun turut terhakis,”katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata ketika ditemui pada Majlis Persidangan Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sabah, di sini semalam.
Terdahulu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata RUU Anti Lompat Parti akan diusul ke persidangan DUN selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Bagaimanapun, ia bergantung kepada sokongan daripada pihak pembangkang supaya RUU itu diluluskan sebab memerlukan dua pertiga untuk meluluskan Perlembagaan ini.
0 Comments