Tuesday, December 24, 2024

Joniston gesa identiti ‘pengundi diragui’ diperiksa

Datuk Joniston Bangkuai

KOTA KINABALU: Semua divisyen Parti Bersatu Sabah (PBS) mesti memeriksa dengan teliti dan menyeluruh daftar pemilih mereka bagi memastikan tiada pemilih tidak sah dimasukkan dalam senarai pengundi.

Ketua penerangan PBS Datuk Joniston Bangkuai mencadangkan kepada semua bahagian parti itu untuk mengambil inisiatif meneliti daftar pemilih secara menyeluruh bagi memastikan identiti pengundi baharu.
“Sudah lama PBS bimbang dengan kemungkinan pengundi tidak sah ini muncul daripada pendaftaran automatik. Kini kebimbangan ini sudah dijustifikasikan,” katanya meminta setiap bahagian bertindak lebih pro aktif dengan meneliti daftar pemilih untuk melihat jika ada nama-nama yang mungkin asing bagi mereka.

Kajian statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendedahkan peningkatan luar biasa sebanyak 574,120 pengundi baharu di Sabah berbanding dalam pilihan raya empat tahun lalu, apabila 1,064,686 orang layak mengundi.

Laporan itu bagaimanapun mendedahkan bahawa peningkatan jumlah pengundi itu bukan disebabkan Undi18 tetapi ianya berlaku pada 2018 dan 2020.

Joniston berkata, peningkatan mengejutkan lebih setengah juta pengundi baharu sejak pilihan raya negeri lalu memerlukan semakan menyeluruh terhadap daftar pemilih.

Katanya, PBS akan mencari jalan menggunakan undang-undang untuk menggali data yang berkaitan untuk meneliti peningkatan yang ketara dalam daftar pengundi negeri.

Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili sebelum ini berkata, walaupun parti itu menyokong pendaftaran automatik bagi mereka yang berumur 18 tahun, ia tidak sepatutnya dilanjutkan ke Sabah sehinggalah senarai pemilih sedia ada disemak dan disahkan secara menyeluruh.

Ini kerana sebelum ini terdapat banyak laporan dan aduan mengenai pengundi yang mencurigakan muncul dalam pilihan raya sebelum ini.

Joniston berkata, PBS juga sudah berulang kali membuat permohonan untuk mendapat temu janji dengan pihak SPR bagi mendapatkan jaminan bahawa rekod pilihan raya Sabah adalah bersih dan tidak mempunyai pengundi yang boleh dipersoalkan jika ia meneruskan pendaftaran automatik bagi mereka yang berumur 18 tahun di Sabah.

Permintaan itu bagaimanapun tidak dilayan sehingga hari ini.

-Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights