Waspada hujan diramal berterusan hingga Selasa
KOTA KINABALU: Orang ramai diminta berwaspada dengan keadaan hujan berterusan yang dijangka melanda beberapa daerah di negeri ini sehingga esok (Selasa 18 Oktober).
Hujan berterusan dijangka berlaku di pedalaman iaitu di Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan.
Keadaan yang sama juga dijangka melanda Pantai Barat (Penampang, Kota Kinabalu) dan Kudat.
Amaran ini dibawa oleh Jabatan Meteorologi Malaysia yang meminta orang ramai yang berada di kawasan yang diramalkan menerima hujan untuk sentiasa berjaga-jaga dan memantau maklumat yang dikeluarkan dari masa ke semasa.
Amaran hujan berterusan (waspada) dikeluarkan apabila ada tanda-tanda yang menunjukkan hujan atau rebut petir sedang berlaku melebihi enam jam dalam tempoh itu di sesuatu tempat.
Sebanyak 608 lokasi panas diramalkan banjir di Sabah sepanjang musim monsun timur laut atau tengkujuh yang bermula pada November hingga Mac tahun depan.
Sebelum ini, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong memberitahu, persediaan daripada pelbagai aspek untuk menghadapi bencana berkenaan termasuk anggota dan logistik sudah dibuat.
Kerajaan negeri mengarahkan semua Pegawai Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah bersiap sedia dan meminta mereka mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana di daerah masing-masing.
-TV Sabah News
0 Comments