Oleh David E.
KOTA KINABALU: Laluan baharu mendaki Gunung Kinabalu dari Kampung Kiau, Kadamaian untuk fasa pertama membabitkan laluan dari Kiau ke Marai-Parai akan dilancarkan pada 16 Januari 2027. Ia sekali gus menjadi tarikan pelancongan baharu sempena Tahun Melawat Sabah 2027.
Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, pembangunan pelancongan Gunung Kinabalu dari sebelah Kadamaian merupakan antara fokus utama Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035 yang diyakini mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi untuk penduduk setempat.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian menghargai inisiatif Taman-Taman Sabah (TTS) membangunkan potensi pelancongan di kawasan itu.
“Saya yakin pembangunan Gunung Kinabalu sebelah Kadamaian merupakan ‘game changer’ untuk aktiviti ekonomi rakyat Sabah di Kadamaian,” katanya selepas menerima taklimat dari Pengarah TTS, Datuk Dr Maklarin Lakim di Ibu Pejabat TTS.
Ewon berkata, pembangunan sektor pelancongan itu turut disokong pembangunan infrastruktur, termasuk Projek Jalan Luar Bandar (JALB) yang sedang dan akan dilaksanakan di Kadamaian.
“Saya akan memainkan peranan sebagai ADUN Kadamaian untuk melengkapkan usaha TTS ini khususnya berkaitan keperluan peruntukan pembangunan,” katanya.
Turut serta dalam kunjungan itu ialah wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah (UPEN) dan Sekretariat Tahun Melawat Sabah 2027.
Dalam taklimat TTS, laluan eksklusif pendakian Kiau–Marai-Parai untuk fasa pertama membabitkan jarak tujuh kilometer, bermula dari Kampung Kiau Nuluh pada ketinggian 977 meter hingga ke Marai-Parai pada ketinggian 1,652 meter dari aras laut.
Berdasarkan ekspedisi saintifik Marai-Parai pada 7 hingga 20 Oktober 2024, sebanyak 25 lokasi dikenal pasti sebagai tarikan utama sepanjang laluan pendakian, termasuk Minitinduk Gorge yang merupakan pintu masuk lama ke Gunung Kinabalu menerusi laluan Sir Hugh Low pada 1851.
Laluan itu turut mempunyai keistimewaan dari segi kepelbagaian flora endemik, landskap dataran tinggi dan kewujudan spesies tumbuhan periuk kera seperti Nepenthes rajah, Nepenthes lowii dan Nepenthes edwardsiana.
Berdasarkan pelan keseluruhan, laluan dari Kampung Kiau Nuluh melalui Marai-Parai dan West Gurkha Hut hingga ke Low’s Peak membabitkan jarak 15.28 kilometer. Keseluruhan perjalanan hingga ke Pintu Timpohon kira-kira 24 kilometer.
Taklimat itu turut mengetengahkan potensi Kadamaian sebagai hab ekopelancongan luar bandar berasaskan komuniti, khususnya di Kiau, Malangkap, Sayap dan Tambatuon.
Dari keseluruhan 75,370 hektar keluasan Taman Kinabalu, sebanyak 25,700 hektar atau 34.1 peratus terletak dalam daerah Kota Belud, manakala 42.1 peratus di Ranau dan 23.8 peratus di Kota Marudu.
