Oleh: Nurul.N
KUDAT: Guru SMK Sikuati, Juanis Mering, mengharumkan nama Sabah selepas dinobatkan sebagai pemenang kategori Excellence in Experiential Learning & Student Development pada Global Education Awards 2026 di Bangkok, Thailand, 22 November lalu.
Pengiktirafan itu diberikan atas usaha Juanis memperkasa pembangunan bakat dan kemahiran pelajar menerusi pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman, termasuk bidang seni, pengurusan acara dan kepimpinan.
Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah penganjuran Semeksi Got Talent 2023 melibatkan 11 sekolah di peringkat daerah sebelum diperluaskan menerusi Kudat Got Talent pada 2025.
Dia turut membimbing pelajar dalam pengurusan acara, komunikasi profesional dan memberi pendedahan untuk berurusan secara langsung dengan syarikat korporat dan bakal penaja.

Usaha pembangunan bakat menerusi ASKARYA SMK Sikuati turut membuahkan hasil selepas tiga pelajarnya berjaya mewakili Malaysia dalam World Dance Festival 2026 di Kuala Lumpur dan meraih pingat perak dalam festival yang melibatkan 15 negara.
Juanis berkata, pendekatan itu bukan sekadar bertujuan melahirkan pelajar yang cemerlang dalam pertandingan, tetapi membentuk individu yang mempunyai keyakinan, kreativiti dan kemampuan memimpin.
“Saya tidak mahu sekadar melahirkan penari yang mampu memenangi pertandingan. Saya mahu melahirkan pengkarya yang mampu mencipta, pemimpin yang mampu membimbing dan generasi yang mampu meneruskan legasi ilmu,” katanya.
Mengulas cabaran yang dihadapi, kekangan kemudahan pengangkutan antara halangan utama dalam membangunkan bakat pelajar. Juanis sendiri mengambil inisiatif menghantar pelajar ke latihan dan menjemput mereka pulang.
Menurutnya, pengiktirafan itu bukan kejayaan peribadi semata-mata, sebaliknya turut didedikasikan untuk anak-anak didik, ibu bapa, pihak sekolah termasuk semua pihak yang menyokong usaha itu.
“Pedalaman adalah lokasi kami, bukan batas kemampuan kami,” katanya.
