BANDAR SERI BEGAWAN, BRUNEI: Ainah Gimir dan lapan rakannya mahu bahasa Kadazandusun terus hidup. Menerusi penyelidikan bahasa, linguistik dan kesusasteraan, kesembilan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membawa bahasa Kadazandusun ke pentas akademik antarabangsa.

Delegasi itu membentangkan 10 kertas kerja di Universiti Brunei Darussalam sempena Persidangan Antarabangsa Pemartabatan dan Pengantarabangsaan Pengajian Melayu (PAPPPM) 2026. Persidangan itu menghimpunkan peserta dari 10 negara termasuk Thailand, China, Brunei Darussalam dan Indonesia pada 11 hingga 12 November lalu.
Penyelidikan yang dibentangkan merangkumi bidang pendidikan bahasa, sastera, budaya dan linguistik Kadazandusun, termasuk kajian penggunaan dan fungsi imbuhan. Kajian kesusasteraan pula meliputi tradisi lisan, cerita rakyat, puisi tradisional, teka-teki dan lagu yang mengetengahkan nilai budaya dan aspek pendidikan masyarakat Kadazandusun.
Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa Etnik UPSI yang juga pembimbing delegasi, Dr Rosliah Kiting berkata penyelidikan bahasa etnik penting untuk memastikan warisan bahasa dan budaya terus didokumentasikan, dipelajari dan diwariskan kepada generasi seterusnya.

“Penyertaan dalam persidangan antarabangsa memberikan pendedahan kepada mahasiswa untuk berkongsi hasil penyelidikan, meningkatkan keyakinan dalam pembentangan ilmiah dan membina pengalaman dalam komuniti akademik antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Persidangan itu turut menampilkan ucaptama Pengarah Pusat Bahasa dan Penolong Profesor Kanan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Brunei Darussalam, Dr Yabit Alas. Beliau menekankan peranan sistem pendidikan dan pemanfaatan kecerdasan buatan (AI) secara strategik dalam memelihara bahasa minoriti, bahasa etnik dan jati diri masyarakat.
Delegasi itu diketuai Ainah, pelajar Sarjana Pendidikan (Bahasa Kadazandusun), bersama tujuh pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Etnik dengan Kepujian dan seorang pelajar minor Bahasa Kadazandusun.
Mereka turut merakamkan penghargaan kepada Dato’ Suki Mee, Datuk Joniston Bangkuai, YB Tuan Jordan Jude Ellron dan pihak UPSI atas sumbangan dan sokongan dalam menjayakan penyertaan tersebut.
