GUANGZHOU: 13 November 2026 – Sabah dan Guangzhou bersetuju mengadakan pertemuan secara tahunan untuk memperkukuh hubungan perdagangan dan memperluas kerjasama ekonomi, khususnya dalam sektor pertanian, perikanan dan industri makanan.
Hasil persetujuan ini, petani, penternak dan nelayan di Sabah berpotensi menikmati pulangan lebih baik sekiranya akses pasaran China dapat direalisasikan. Laluan perdagangan secara langsung bakal membolehkan hasil pertanian, perikanan dan sarang burung dari Sabah menembusi pasaran China tanpa perlu melalui Kuala Lumpur.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, pertemuan berkala itu penting untuk memastikan hubungan perniagaan antara kedua-dua pihak terus berkembang menerusi perbincangan dan tindakan susulan yang lebih tersusun.
“Kita telah membuat kesimpulan supaya perbincangan ini diadakan sekali setahun. Setiap perkara yang telah dipersetujui, masih dalam perbincangan atau belum dapat dilaksanakan dapat diteliti dan diselaraskan secara lebih teratur pada masa akan datang,” katanya selepas pertemuan bersama Ketua Pengarah Bahagian Antarabangsa Guangzhou sempena Malaysia-China Economic & Trade Exchange & Business Matching Session di sini.
Menurutnya, mekanisme berkenaan juga membolehkan kedua-dua pihak menilai perkembangan kerjasama, mengenal pasti perkara yang telah diselesaikan dan meneliti isu yang masih memerlukan penyelarasan.
Pihak Guangzhou turut membuka ruang untuk meneroka peluang eksport produk tempatan termasuk durian, pomelo, nanas, sarang burung dan hasil perikanan, tertakluk kepada perbincangan teknikal dan kelulusan berkaitan.
Selain akses pasaran, Sabah turut mengemukakan peluang kerjasama dalam pemindahan teknologi, pemprosesan makanan dan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berasaskan pertanian dan perikanan, selaras dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) menerusi pendekatan ekonomi biru.
Perbincangan itu turut disertai kira-kira 12 syarikat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mempunyai kepentingan dalam sektor berkenaan, dengan kebanyakannya menyatakan kesediaan untuk meneroka kerjasama bersama Sabah.
Jamawi berkata, Sabah mahu hubungan perdagangan yang terjalin bukan sekadar bersifat pertemuan rasmi, sebaliknya berkembang menjadi kerjasama perniagaan berterusan yang membuka lebih banyak peluang kepada pemain industri kedua-dua pihak.
“Kita mahu hubungan perdagangan antara Sabah dan Guangzhou terus diperkukuh supaya lebih banyak peluang perniagaan, pelaburan dan kerjasama ekonomi dapat diterokai, khususnya dalam sektor yang mempunyai potensi untuk dikembangkan bersama,” katanya.
Beliau berkata, usaha memperkukuh hubungan perdagangan itu juga penting untuk mengimbangi aliran perdagangan antara Sabah dan China, di samping membuka pasaran yang lebih kompetitif kepada pengusaha tempatan.
Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan bersama Sekretariat SMJ akan menyediakan kertas kabinet untuk pertimbangan dan kelulusan Ketua Menteri berhubung perkara itu.
