Oleh: Nurul Fazliana Norman
SELAYANG: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal cedera parah selepas pergelangan tangan kanannya putus ditetak seorang lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Desa Amanpuri, Kepong, pada Rabu.
Anggota berusia 26 tahun itu diserang ketika polis menjalankan operasi untuk menahan suspek yang dipercayai mengamuk di sebuah unit kediaman.
Ketua Polis Selangor, CP Dato’ Pahlawan Shazeli Dato’ Kahar berkata, suspek bertindak menyerang anggota polis menggunakan parang ketika cubaan tangkapan dilakukan.
“Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan untuk mempertahankan diri,” katanya.
Suspek kemudian dibawa ke Hospital Selayang. Beliau disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital berkenaan.
Mangsa dilaporkan stabil dan sedang menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Shazeli meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan. Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi.
Siasatan lanjut masih dijalankan.
Sumber: Polis Selangor
