Oleh David E.
KOTA KINABALU: 7 November 2026 – Makan Malam Amal Legends kembali menghangatkan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini malam tadi, menghimpunkan barisan artis legenda dan bakat tempatan demi mengumpul dana untuk Tabung Kebajikan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan).


Penganjuran kali kelima dan kedua di Sabah itu bertemakan “Senandung Hidup Berbudi”, menyaksikan gabungan persembahan ikon muzik tanah air seperti Datuk Ramli Sarip, Datuk Khadijah Ibrahim, Dato’ Hattan dan Datin Sa’adiah, bersama artis generasi baharu antaranya Bella Astillah, Velvet Aduk, Ayu Damit dan Hairee Kool .




Kumpulan K.O.I, juara Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), turut membuat penampilan istimewa pada malam berkenaan.


Majlis itu diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, bersama isteri Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Zainuddin bin Aman. Turut hadir Yang Amat Mulia Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Zain Al-Abidin ibni Tunku Muhriz, dan Datuk Bandar Miri, Tuan Haji Arifin Muhammad.

Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, ketika mengumumkan acara itu sebelum ini, menegaskan bahawa usaha membantu penggiat seni perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama kerana industri hiburan turut dibangunkan oleh individu di belakang tabir.
“Industri seni bukan hanya terdiri daripada mereka yang berada di atas pentas. Di belakang setiap persembahan terdapat begitu ramai karyawan yang bekerja keras daripada pemuzik, kru teknikal, penulis, penerbit, pekerja produksi sehinggalah mereka yang berada di belakang tabir,” katanya .

Pengerusi Karyawan, Datuk Khadijah Ibrahim, pula menyatakan bahawa hasil kutipan akan disalurkan kepada penggiat seni yang berdepan kesusahan, termasuk penyanyi, pelakon, penulis lagu dan kru belakang tabir, membabitkan bantuan kepada anak-anak seni sama ada baharu atau lama yang pernah terlibat dalam industri .
Tiket individu bagi acara yang bermula jam 8 malam itu dijual pada harga RM300 seorang, manakala pakej meja untuk 10 orang ditawarkan mengikut kategori iaitu Bronze RM3,000, Silver RM5,000, Gold RM10,000, Platinum RM50,000 dan Diamond RM100,000.
Pemilihan Sabah sebagai lokasi penganjuran kali kedua dilihat sebagai peluang mengeratkan hubungan dengan komuniti seni negeri itu, sekali gus memberi tumpuan kepada penggiat dan artis tempatan yang turut mewarnai industri seni tanah air.
– TV Sabah
