Maritim Malaysia rampas 200,000 batang rokok seludup di Tawau

IMG 3855

Oleh: Nurul Fazliana Norman

TAWAU: 31 Oktober 2026 – Cubaan menyeludup kira-kira 200,000 batang rokok putih tidak bercukai di perairan Kampung Titingan di sini gagal selepas bot laju yang dinaiki suspek mengalami kerosakan enjin ketika dikejar bot peronda Maritim Malaysia, tiga hari lalu.

Ketua Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali, berkata bot berkenaan dikesan dalam keadaan bergelap kira-kira 1.35 batu nautika barat daya Sungai Tawau, dipercayai memasuki perairan negara dari negara jiran.

Menurutnya, anggota peronda yang menjalankan OP SEJAHTERA, OP KHAS CEGAH PATI dan OP TIRIS mengarahkan bot itu berhenti untuk pemeriksaan.

“Tekong bot bertindak memecut ke kawasan cetek untuk mengelak ditahan. Namun, botnya rosak dan dia terjun ke laut sebelum melarikan diri, meninggalkan bot bersama muatan,” katanya.

Keadaan cuaca gelap dan perairan cetek menyukarkan usaha mengesan suspek.

IMG 3854 edited

Pemeriksaan menemukan 20 kotak besar berisi kira-kira 200,000 batang rokok putih bernilai RM160,000 termasuk cukai.

Nilai keseluruhan rampasan membabitkan bot, enjin dan muatan dianggarkan RM190,000.

Semua barang rampasan dibawa ke jeti Ibu Pejabat Maritim Zon Tawau sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat.

Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Maritim Malaysia menegaskan komitmen berterusan membanteras jenayah rentas sempadan, khususnya penyeludupan barangan tidak bercukai di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).

Sumber: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal