Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU: 31 Oktober 2026 – Perkasa Trading Sdn. Bhd. (PTSB) memperkukuh jaringan kerjasama antara pembekal, kontraktor dan pemain industri pembinaan di Sabah dan Labuan menerusi penganjuran PTSB Infra Solutions Mini-Expo 2026 di Cawangan PTSB Kolombong, di sini.
Ekspo selama dua hari bermula 29 Oktober itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.24 Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya, pada 29 Oktober.
PTSB, anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), kini memperluas peranannya sebagai Rakan Perolehan Sehenti atau One-Stop Procurement Partner untuk menyediakan pelbagai keperluan bahan binaan dan penyelesaian infrastruktur.
Pameran itu menampilkan pameran produk dari pembekal strategik, termasuk bahan keluli, konkrit pratuang, simen, premix, turapan, geotekstil, gabion, cat pelindung dan panel dinding.
Pengunjung turut berpeluang mendapatkan khidmat konsultasi berkaitan spesifikasi bahan binaan dan menghadiri taklimat khas mengenai keperluan bahan binaan untuk Program Rumah SMJ.

PTSB turut menyediakan taklimat kemudahan kredit untuk membantu kontraktor tempatan, khususnya yang terlibat dalam pelaksanaan Program Rumah SMJ dan projek pembangunan daerah, menguruskan kos termasuk aliran tunai dengan lebih efisien.
Menurut Shah Alfie, industri pembinaan dan kejuruteraan ketika ini berdepan pelbagai cabaran, termasuk ketidaktentuan rantaian bekalan, peningkatan kos bahan mentah dan keperluan pematuhan piawaian kualiti.
“Penganjuran ekspo itu menjadi platform untuk menghubungkan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, kontraktor dan pembekal strategik untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor berkenaan,” tambahnya.
Acara itu turut menyediakan peluang padanan perniagaan di samping saluran perbincangan secara langsung bersama pasukan jualan PTSB dan pembekal untuk urusan sebut harga, spesifikasi tender dan pesanan pembelian.
Inisiatif berkenaan diharap dapat memperkukuh peranan PTSB sebagai pembekal utama dan rakan strategik industri, sekali gus menyokong pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur di Sabah dan Labuan.

