Wanita Indonesia dipercayai ejen haram ditahan di Shah Alam

IMG 3589

Oleh: Nurul Fazliana Norman

SHAH ALAM: 23 Oktober 2026 – Seorang wanita warga Indonesia berusia 31 tahun yang dipercayai menjadi ejen haram ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu operasi khas di Seksyen U15 di sini pada 19 Oktober lalu, kira-kira 10 pagi.

Penahanan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, hasil maklumat orang awam dan risikan selama sebulan.

Dalam operasi itu, JIM menyita dua pasport Indonesia, dua telefon bimbit, satu set kunci premis kediaman, buku catatan pelanggan dan wang tunai RM4,000 yang dipercayai hasil kegiatan itu.

IMG 3587

Soal siasat terhadap suspek membawa pasukan operasi ke sebuah syarikat kurier di Puncak Alam, tempat mereka menyita satu bungkusan mengandungi pasport Indonesia yang dihantar pelanggan kepada suspek.

Siasatan mendapati suspek mempromosikan perkhidmatan berkaitan imigresen menerusi platform media sosial TikTok dengan menyasarkan warga Indonesia di Lembah Klang.

Perkhidmatan itu merangkumi urusan Program Repatriasi Migran (PRM), Pas Khas, membawa masuk dan keluar migran melalui laluan tidak diwartakan termasuk membantu mendapatkan Surat Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) dari Kedutaan Indonesia.

Suspek dipercayai mengenakan bayaran antara RM700 hingga RM3,000 untuk setiap perkhidmatan. Kegiatan itu dipercayai beroperasi sejak setahun lalu.

IMG 3586

Wanita itu disiasat mengikut Seksyen 56(1)(l) dan Seksyen 56(1A)(a) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Suspek dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.

JIM menegaskan tindakan tegas akan terus diambil untuk membanteras aktiviti yang melanggar undang-undang imigresen negara.

Sumber: JIM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal