KOTA KINABALU: 22 Oktober 2026 — Festival Bagandang Daerah Beaufort kembali dianjurkan pada 29 Oktober hingga 1 November 2026, selepas kali terakhir diadakan pada 2016.
Pelancaran festival itu dijadualkan disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, pada 31 Oktober.

Pembantu Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih, berkata penganjuran semula itu bertujuan menghidupkan kembali warisan budaya dan mempromosikan keunikan daerah Beaufort sempena Tahun Melawat Sabah 2027.
“Perayaan ini kita kembalikan selepas sekian lama tertangguh sejak 2016. Pihak jawatankuasa merancang semula penganjurannya untuk hidupkan suasana dan memperlihatkan keunikan tradisi dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Menurutnya, idea asal penganjuran festival ini merupakan cetusan ilham Tun Musa ketika beliau berkhidmat sebagai Ketua Menteri Sabah dahulu.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur menyasarkan kehadiran sekitar 5,000 pengunjung memandangkan langkah itu merupakan usaha awal untuk mengembalikan kemeriahan pesta tersebut selepas sedekad menyepi.
“Saya mengharapkan orang ramai datang ke Beaufort, ziarah dan sama-sama meriahkan suasana,” tambahnya.
Kunjungan hormat ke Istana Seri Kinabalu pada Rabu bertujuan memaklumkan perkembangan pesta dan menyerahkan jemputan rasmi kepada Tun Musa.
Turut hadir Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Ruslan Muharam; Pegawai Daerah Beaufort, Mohd Nazri Ajun; dan Ketua Polis Daerah Beaufort, Supt Champin Piuh.
Sumber: JAPEN

