Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU: 21 Oktober 2026 – Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) mengemukakan beberapa cadangan inisiatif baharu untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan Sabah 2027 menerusi sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan Sabah di sini, kelmarin.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata sesi itu turut membincangkan inisiatif sedia ada yang dilaksanakan kementerian dan agensi di bawahnya.
“Selain inisiatif sedia ada oleh MINDET dan agensi-agensinya, saya juga telah membentangkan beberapa cadangan inisiatif untuk pertimbangan Belanjawan Sabah 2027,” katanya.

Sesi libat urus bersama Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun itu turut menyaksikan pembentangan khas oleh SEDCOVEST, anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) yang merupakan antara agensi di bawah MINDET.
Sesi itu merupakan sebahagian daripada proses penyediaan Belanjawan Sabah 2027. Ia membolehkan Kementerian Kewangan Negeri meneliti cadangan dan keperluan peruntukan yang dikemukakan kementerian termasuk agensi berkaitan.

