Oleh: Nurul Fazliana Norman
SEMPORNA: 5 Oktober 2026 – Seorang pelancong wanita warga China berusia 66 tahun meninggal dunia selepas mengalami masalah kesihatan ketika melakukan aktiviti snorkeling di perairan Pulau Pom Pom, Semporna, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari ketika mangsa yang berasal dari Yunnan, China, melakukan aktiviti berkenaan bersama ahli keluarganya.
Menurut Ketua Polis Daerah Semporna, siasatan awal mendapati mangsa mengadu berasa tidak selesa sebelum meminta dibawa naik ke atas bot.
Mangsa kemudian didapati tidak sedarkan diri ketika berada di atas bot dan diberikan bantuan pernafasan (CPR), namun tidak menunjukkan sebarang tindak balas.
Mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Semporna untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Bagaimanapun, pemeriksaan doktor di Wad Kecemasan Hospital Semporna mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Mangsa dilaporkan mempunyai sejarah penyakit asma sejak kira-kira 10 tahun lalu.
Polis kini menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.
Justeru, PDRM menasihatkan pengusaha pelancongan supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan pelancong ketika menjalankan sebarang aktiviti.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Mohammad Ali Amat di talian 013-2120852 untuk membantu siasatan.
Sumber: Polis Daerah Semporna

