TELUPID: 23 September 2026 – Seekor anak gajah cedera teruk selepas dipercayai terjerat di Hutan Simpan Tawai, dekat sini.
Penyelaras Community Elephant Ranger Team (CERT) Telupid, Alvein Dee Albenus, berkata pihaknya menerima aduan kira-kira 10.42 pagi dari kontraktor pembinaan Lebuhraya Pan Borneo mengenai kemunculan anak gajah yang dipercayai cedera akibat jerat pada 22 September.

Menurutnya, rakaman video menunjukkan kaki anak gajah itu bengkak dan haiwan tersebut sukar berjalan. Anak gajah bersama ibunya dipercayai berkeliaran di kawasan itu selama kira-kira dua hari.
“Keadaan anak gajah amat menyayat hati. Kakinya bengkak dan dia sukar berjalan,” katanya.
Aduan itu dipanjangkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sandakan, pegawai veterinar dan Pejabat Perhutanan Telupid untuk tindakan lanjut. Pasukan CERT Telupid menjalankan pemantauan di lapangan untuk mendapatkan maklumat lokasi dan keadaan anak gajah.

Alvein berkata kejadian itu menunjukkan jerat kecil mampu membawa akibat besar kepada hidupan liar.
“Jerat bukan sekadar perangkap. Ia boleh menyebabkan kecederaan serius, penderitaan berpanjangan dan kematian. Mangsa jerat tidak mengenal usia, saiz atau spesies,” katanya.
Katanya, kejadian itu perlu dilihat dalam konteks tekanan terhadap habitat gajah di Telupid akibat perubahan guna tanah, pembangunan dan gangguan hutan. Ruang habitat yang semakin terhad mendorong gajah mendekati kawasan aktiviti manusia.
“Habitat mereka kita ganggu. Ruang mereka kita sempitkan. Akhirnya, mereka menjadi mangsa ketika cuba bertahan hidup di rumah sendiri,” katanya.
Alvein menegaskan isu itu bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya peringatan tentang tanggungjawab bersama mengurangkan ancaman terhadap hidupan liar.
Beliau menyeru masyarakat, khususnya komuniti berhampiran hutan, meningkatkan kesedaran tentang bahaya jerat dan menghormati undang-undang perlindungan hidupan liar.
Katanya, pembangunan masyarakat perlu seiring usaha memastikan hidupan liar masih mempunyai ruang hidup.
“Anak gajah ini tidak memilih untuk berada dalam bahaya. Ia hanya cuba hidup. Jangan jadikan hutan tempat mereka dilahirkan sebagai perangkap kematian,” katanya.

