Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU: 4 September 2026 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah terus mempergiat usaha membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah di negeri ini untuk mengelakkan Sabah dijadikan transit sindiket, menerusi penguatkuasaan dan kerjasama dengan agensi berkaitan, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, kelmarin.
Beliau berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi tindakan penguatkuasaan dan kerjasama berterusan dengan agensi berkaitan dalam menangani kemasukan dadah ke Sabah.
“PDRM akan terus berusaha membanteras kemasukan dadah ke Sabah, manakala rampasan yang dilakukan setakat ini turut membuktikan hasil kerjasama dengan agensi-agensi lain.
“Kita mengharapkan pihak agensi akan terus bekerjasama dengan PDRM untuk mengatasi masalah yang menjadikan Sabah sebagai transit sindiket pengedaran dadah,” tambah beliau.
Jauteh berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu.
Justeru, Jauteh berkata, PDRM Sabah turut memperkukuh pendekatan Kepolisian Komuniti untuk meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya golongan muda, mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.
Katanya, beberapa siri program Kepolisian Komuniti akan dilaksanakan untuk mendidik masyarakat supaya menjauhi penyalahgunaan dadah dan menggalakkan mereka menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengesan kegiatan berkaitan dadah di kawasan masing-masing.
Kunjungan hormat itu turut bertujuan memperkenalkan barisan pegawai baharu yang akan menerajui beberapa jabatan penting di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.
Antara yang hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mohd Azhar Hamin; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Mohd Hafiz Ya’acob; Ketua Jabatan Logistik dan Teknologi Maklumat, Wong Leong Meng; Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Superintendent Yampil Anak Garai termasuk Ketua Polis Daerah, Shahrudin Mat Husain.
Sumber: JAPEN

